Blogger Template by Blogcrowds

Oleh: Endok Sempo Tahir

Sejak akhir akhir ini isu tudung menjadi hangat semula. Bertudung adalah satu kewajipan yang jelas diperintahkan di dalam al-Quran dan al-Sunnah kerana ia adalah satu daripada kewajipan wanita Islam.Antara tips yang boleh menarik hati yang ikhlas dan sejahtera:

► Lindungi daripada dikasariIni agak rumit tetapi perlu dilakukan. Ada beberapa organisasi Islam yang ingin melaksanakan Islam menggunakan kaedah yang disebutkan sebagai pendekatan ‘baseball bat’: dengan menggunakan kekerasan atau main kasar.Ini amat bertentangan dengan kaedah Islam yang anjal. Apabila kita melihat wanita Islam yang tidak memakai tudung dikasari atau diberi layanan negatif kita perlu menolongnya dan berbuat baik kepadanya.

► Beritahu kepada rakan yang lain jangan prasangka atau menghukumAktivis Muslim perlu diberitahu supaya tidak menggunakan pendekatan “baseball bat” dan terlalu mudah menghukum wanita yang tidak bertudung. Beritahu mereka dengan bukti dari Quran dan Sunnah bahawa Islam mengajak manusia menggunakan kebijaksanaan.Jika cara ini tidak berkesan, dapatkan ilmuwan atau mereka yang boleh dipercayai boleh memberikan nasihat, kaunseling, teman berbincang yang mendengar, boleh dipercayai dalam menyelesaikan masalah.

► Tekankan keimanan terlebih duluIslam diutuskan kepada Nabi (SAW) secara berperingkat dan Muslim pada hari ini juga harus melaksanakannya secara berperingkat. Sebelum seseorang memperkatakan mengenai tudung kepada seorang wanita, aspek yang paling penting yang perlu ditekankan ialah aspek asas Islam dan asas keimanan. Asas Islam perlu diperhatikan dulu seperti kepentingan mendirikan sembahyang lima waktu, berpuasa di dan sebagainya.► Tidak menjadi apologetikDalam menggunakan pendekatan bersikap baik dan berlemah lembut, jangan kita bersikap apologetik atau menyembunyikan kebenaran pengajaran Islam. Sekali lagi, kebijaksanaan adalah perlu, tetapi seorang wanita tidak boleh mengatakan tidak memakai tudung adalah diterima dari perspektif Islam. Hukum bertudung sepakat oleh jumhur ulama dan tidak boleh dipertikaikan.

► Jika mereka mula mahu bertudung, sokonglah mereka"Sokongan yang padu amat diperlukan bagi mereka yang ingin bertudung,” kata Dr Katherine Bullock.

Apabila seorang wanita menerima tanggungjawab untuk bertudung, dia selalunya memerlukan pertolongan, menyiapkan persiapan mental untuk menghadapi beberapa kemungkinan: berdepan dengan ibu bapa, diskriminasi oleh majikan, ejekan rakan dan juga pengetahuan Islam yang cetek untuk menangkis sebarang soalan soalan yang diajukan.

Pengalaman menunjukkan pada peringkat awal kita sering meluangkan masa untuk meyakinkan seseorang untuk menerima ajaran Islam. Tetapi apabila individu sudah menerimanya, kita tidak membuat ‘penerusan’’, menyepikan atau menjauhkan diri, kurang komitment untuk terus membantu mereka yang berusaha untuk menjadi saudara baru. Oleh itu langkah yang paling berat adalah selepas, bukannya sebelum. sokongan, persahabatan dan yang paling penting adalah untuk mengekalkannya.

Oleh Endok Sempo Tahir
wanitajim0@yahoo.com


JALIN PERSAUDARAAN: Rundingan damai jalan penyelesaian kepada perselisihan dan mencapai kesefahaman golongan bermusuhan. - Gambar hiasan

Islam utamakan konsep persaudaraan untuk bentuk kekuatan ummah 'BIDUK berlalu kiambang bertaut'. 'Buang yang keruh ambil yang jernih'. Demikianlah pepatah Melayu yang melambangkan kehalusan budi untuk memelihara hubungan persaudaraan serumpun bangsa. Biasanya suasana politik orang Melayu dan Islam akan tegang setiap kali pilihan raya diadakan terutama sebelum pilihan raya. Namun, sebaik saja pilihan raya selesai, kita teruskan kehidupan seperti sedia kala dan menerima realiti seadanya. Kita teruskan usaha membina martabat umat dan membaiki kehidupan kepada yang lebih baik.

Persahabatan, persaudaraan dan persefahaman terus kekal untuk membina tamadun. Pembinaan tamadun umat yang gemilang adalah agenda utama kita. Janganlah perkara remeh temeh menjadi halangan agenda besar ini.
Firman Allah yang bermaksud: "Dan jika dua puak daripada orang yang beriman berperang, maka damaikan antara keduanya; jika salah satunya berlaku zalim terhadap yang lain, maka lawan puak yang zalim itu sehingga ia kembali mematuhi perintah Allah; jika ia kembali patuh maka damaikanlah di antara keduanya dengan adil (menurut hukum Allah), serta berlaku adil kamu (dalam segala perkara); sesungguhnya Allah mengasihi orang yang berlaku adil." (Surah al-Hujurat, ayat 9) Ayat itu turun kerana terjadinya perbalahan dua orang sahabat yang menyebabkan pergaduhan. Walhal puncanya kecil saja.

Diriwayatkan oleh Anas, satu ketika Rasulullah SAW dijemput melawat Abdullah bin Ubay, Baginda menaiki untanya dan diikuti sekumpulan sahabat sambil berjalan. Apabila Rasulullah SAW menghampiri Abdullah bin Ubay beliau berada betul-betul di hadapan rombongan Rasulullah SAW sambil mencemuh: 'Jauhkan dirimu, demi Allah, bau untamu menyakitkan hidungku`. Lalu salah seorang sahabat daripada golongan Ansar menjawab: 'Demi Allah, bau unta Rasulullah SAW adalah lebih harum daripada baumu'. Maka pergaduhan tercetus dan turunlah ayat: "Dan jika dua puak daripada orang yang beriman berperang, maka damailah di antara keduanya." (Hadis riwayat Muslim dan Imam Ahmad).
Prinsip mendamaikan dua golongan Muslim yang bergaduh atau berperang berlandaskan kepada tiga langkah:
  • Pertama, kedua-dua pihak yang berperang mesti menghentikan kekerasan ke atas satu sama lain. Siapa yang memulakan kekerasan tidak penting, apa yang penting perdamaian dan persefahaman harus segera dicapai.
  • Langkah kedua, jika satu pihak berkeras untuk berperang dan tidak mahukan penyelesaian, maka pihak yang mahukan damai hendaklah disokong supaya pihak yang degil dapat ditundukkan kepada undang-undang dan ketetapan Allah (berdamai).
    Keutamaan menghentikan kekerasan sesama Muslim adalah daripada hadis Rasulullah SAW yang bermaksud: "Bantulah saudaramu sama ada yang zalim atau dizalimi. Seorang sahabat, Anas terkejut lalu bertanya: Wahai Rasulullah, membantu yang dizalimi itu jelas tetapi bagaimana kami membantu mereka yang zalim? Rasulullah SAW menjawab: Bantulah dia dengan menghentikannya daripada menzalimi." (Hadis riwayat Bukhari dan Muslim).

  • Langkah ketiga, apabila pihak yang degil sudah berjaya ditundukkan, maka rundingan damai bolehlah segera dibuat untuk mencari penyelesaian kepada perselisihan dan mencapai kesefahaman semula. Firman Allah yang bermaksud: "Sebenarnya orang yang beriman itu adalah bersaudara, maka damaikanlah di antara dua saudara kamu (yang bertelingkah) itu dan bertakwalah kepada Allah supaya kamu beroleh rahmat." (Surah al-Hujurat, ayat 10).

Ayat itu adalah lanjutan kepada ayat sebelumnya yang menegaskan bahawa orang yang beriman itu adalah bersaudara. Orang-orang yang beriman sedar bahawa konsep persaudaraan dalam Islam itu penting kepada kekuatan ummah. Ikatan persaudaraan dalam Islam haruslah diutamakan dan kedudukannya mestilah di atas ikatan lain kerana persaudaraan merangkumi aspek kasih sayang, tolong menolong tanpa diskriminasi kelas, pangkat dan kedudukan juga tanpa tipu menipu atau tindas menindas.

Sabda Rasulullah SAW dalam beberapa hadis mengenai persaudaraan antaranya: "Allah membantu hamba-Nya selama mana dia membantu saudaranya." (Hadis riwayat Muslim). Daripada Abu Musa al-Asha'ri, Rasulullah SAW bersabda yang bermaksud: "Orang beriman itu ibarat sebuah bangunan, setiap satu menyokong yang lainnya" (Hadis riwayat Bukhari dan Muslim) Penulis ialah Ahli Jawatankuasa Wanita JIM Pusat yang boleh dihubungi menerusi e-mel: wanitajim0@yahoo.com

(BERITA HARIAN 14 HB mAC 2008)

Oleh Endok Sempo M Tahir

wanitajim0@yahoo.com

RAMAI terkejut dengan keputusan pilihan raya minggu lalu. Ada gembira dan ada yang sedih. Kalah menang adat orang berjuang. Namun ada yang masih kebingungan dan tidak kurang boleh menerima kekalahan serta menerima hakikat ini sebagai takdir.

Takdir bukan satu kebetulan tetapi ia adalah ketentuan Allah yang sudah diukir di luh mahfuz. Kita percaya dan menerima ia sebagai qada kadar yang menjadi salah satu rukun iman. Beriman kepada takdir baik dan buruk sama ada yang sudah atau sedang berlaku adalah tuntutan Islam.

Maksud iman jelas diterangkan dalam hadis kedua koleksi hadis 40 Imam Nawawi. Sabda Rasulullah SAW yang bermaksud: "Khabarkanlah kepadaku mengenai iman? Rasulullah menjawab: Hendaklah engkau beriman kepada Allah, malaikat-Nya, kitab-Nya, Rasul-Nya, hari akhirat dan hendaklah engkau beriman kepada takdir Allah yang baik atau yang buru."

Pembicaraan sekitar masalah takdir, qada dan qadar Allah dalam perspektif yang betul masih kurang popular. Pada zaman Rasulullah SAW tidak ada wacana menyeluruh mengenai takdir. Wacana itu diperkenalkan pada zaman Khalifah kedua, Saidina Umar al-Khatthab.

Kemudian perbahasan mengenainya semakin berkembang pesat ketika zaman khalifah Ummayyah selepas kewafatan Saidina Ali. Pada zaman inilah bagaimana istilah 'takdir' diberikan persepsi kurang tepat malah ada ulama mengatakannya salah.

Apabila Saidina Ali wafat, beliau digantikan puteranya, Hasan. Ramai kalangan umat Islam tidak menerima kepemimpinannya, umat Islam berpecah, lantas Hasan mengundurkan diri. Hasan digantikan adiknya Husein yang kemudian dibunuh oleh Bani Ummayyah.

Khalifah Ummayyah berjaya menghapuskan Husein. Demi kepentingan politiknya maka kerajaan Ummayyah memulakan wacana takdir kepada umat Islam, bahawa terbunuhnya Husein itu sudah takdir Allah.

Husein tidak dibolehkan memerintah, sebagai buktinya Husein tewas yang berakhir dengan kematian. Pembesar dan pengikut Ummayyah mencanangkan Umayyah boleh memerintah kerana sifat Allah yang Adil kepada mereka. Itulah takdir Allah kepada mereka. Wacana tidak tepat ini dihembuskan oleh dinasti Ummayyah.

Apa makna takdir itu sebenarnya? Kita perlu kembali kepada keterangan dalam al-Quran seperti firman Allah yang bermaksud: "Sesungguhnya Allah telah mengadakan ukuran bagi tiap-tiap sesuatu." (Surah At-Talaq, ayat 3)

Takdir adalah rumusan yang Allah tetapkan dan berlaku pada setiap sesuatu. Takdir dikatakan sistem Allah yang Dia terapkan pada setiap sesuatu di dunia ini. Contohnya takdir air laut, menjadi awan apabila meruap selepas beberapa jam disinari matahari.

Takdir api terpadam dan terus mati apabila disiram air yang mencukupi. Bumi diberikan takdirnya untuk mengelilingi matahari, dia tidak boleh mengelilingi planet atau bintang-bintang lain, jika terjadi demikian alam cakerawala akan kacau-bilau dan musnah.

Demikianlah, alam semesta tidak diberi kesempatan untuk memilih takdirnya. Sedangkan manusia diberi kebebasan untuk memilih takdir yang diinginkan. Takdir manusia yang rajin, sabar dan tabah ialah kejayaan dan kecemerlangan. Takdir bagi manusia malas, maka akan sengsara hidupnya.

Oleh itu, terserah kepada kita sebagai manusia untuk memilih, adakah kita mahu menjadi manusia yang rajin atau pemalas. Allah menganjurkan kepada manusia untuk memilih takdir terbaik buat dirinya, bukan sekadar takdir yang baik, tapi yang terbaik.

Kadangkala kita terdengar bahawa jodoh, rezeki dan maut adalah takdir Allah, sedangkan takdir Allah bukan terbatas kepada tiga perkara itu saja. Bahkan, takdir Allah meliputi semua yang terjadi di dunia ini.

Sering kali kita hanya katakan sesuatu kejadian itu sebagai takdir jika kita mendapat musibah. Sedangkan apabila kita mendapat kejayaan dan kebahagiaan, sebenarnya itu juga adalah takdir daripada sekian banyak takdir yang kita pilih.

Rumusan Allah itu tertuang dalam Luh Mahfuz yang mencakup rumusan takdir dan qada qadar. Luh Mahfuz ibarat sebuah khazanah yang menyimpan ilmu Allah yang terpelihara.

Perbezaan qada dan qadar adalah, qada itu rumusan Allah secara global, seperti setiap makhluk yang bernyawa pasti mati. Qadar atau takdir adalah rumusan Allah yang terperinci seperti bilakah dan di manakah seseorang itu akan mati.

Qada dan qadar adalah sistem Allah yang berlaku di dunia ini pada siapapun dan apapun. Hanya kita sebagai manusia diberi peluang untuk memilih takdir. Kita mahu beriman atau sebaliknya. Kita mahu berubah atau suka menjadi jumud sehingga mati.

Allah menghendaki kita memilih takdir yang terbaik buat kita. Sedangkan alam raya ini tidak boleh memilih takdirnya. Alam semesta ini sengaja Allah hamparkan supaya kita boleh mentadbirnya dengan cara yang terbaik atau sebaiknya.

Pilihan rezeki terbaik, jodoh terbaik, kerjaya terbaik, kesejahteraan terbaik, pemerintahan terbaik, nasib yang terbaik kita harus usahakan sendiri. Mengenai nasib yang menimpa manusia, Allah tidak menentukan tapi manusialah yang menentukan sendiri nasibnya.

Allah berfirman yang bermaksud: "Sesungguhnya Allah tidak mengubah apa yang ada pada sesuatu kaum sehingga mereka mengubah apa yang ada pada diri mereka sendiri." (Surah Ar-Ra'ad, ayat 11)

Firman-Nya lagi yang bermaksud: "Sesungguhnya Allah tidak akan mengubah sesuatu nikmat yang telah dikurniakan-Nya kepada sesuatu kaum sehingga mereka mengubah apa yang ada pada diri mereka sendiri." (Surah Al-Anfaal, ayat 53)

Bagi yang berubah kepada kebaikan, ganjaran bagi mereka tetapi selepas mendapat nikmat kejayaan dan kemenangan, Allah boleh mengubahnya pada bila-bila masa jika kita berubah sama ada pada niat, perbuatan atau tingkah laku.

Bagaimanapun, doa dapat mengubah takdir. Allah boleh menghapus apa yang sudah ditetapkan dan manusia boleh berdoa kepada Allah supaya takdirnya dapat berubah walaupun sistem global Allah tidak akan berubah.

Penulis ialah Ahli Jawatankuasa (AJK) Wanita JIM Pusat yang boleh dihubungi di emel wanitajim0@yahoo.com

Umat hilang dua kenikmatan selepas Ramadan

Oleh Endok Sempo Mohd Tahir
wanitajim0@yahoo.com.

SEMINGGU lagi Ramadan akan beransur pergi. Jika kita merindukan kehadiran yang indah, inilah masa bahagia, masa betapa dekatnya jiwa kita bersama Allah, inilah waktu kedamaian, keadaan ini belum tentu kita akan temui lagi tahun depan.

Sementara kita masih ada peluang yang hanya beberapa hari ini, kita hirup udara malamnya. Kita sedut udara sahurnya. Kita kini sedang berada pada hari perpisahan yang sangat memilukan. Perpisahan dengan bulan mulia yang hadir bersama seluruh keindahan dan keistimewaannya.

Rasulullah SAW bersabda bermaksud: “Barang siapa melakukan satu ibadat sunnah pada Ramadan, maka ia seperti orang yang melakukan ibadat wajib pada bulan selain Ramadan. Dan barang siapa yang melakukan ibadat wajib pada Ramadan, maka ia seperti orang yang melaksanakan 70 ibadat wajib di selain Ramadan.” (Hadis riwayat Ibnu Khuzaimah).

Berpisah dengan bulan ini bermakna kita meninggalkan kesempatan meraih pahala kebaikan yang berlipat ganda.

Sabda Rasulullah SAW bermaksud: “Ada dua kegembiraan bagi orang yang berpuasa, kegembiraan saat berbuka dan kegembiraan tatkala bertemu dengan Allah.” (Hadis riwayat Al-Bukhari dan Muslim).

Maka, perpisahan dengan bulan ini, bererti kita kehilangan dua keajaiban kegembiraan di kala berbuka puasa.

Perpisahan dengan bulan ini adalah hilangnya kesempatan kita untuk memperoleh keampunan Allah terhadap dosa yang tidak sanggup kita kira lagi.

Rasulullah SAW bersabda bermaksud: “Barang siapa yang menunaikan qiamullail pada Ramadan kerana keimanan dan mengharapkan pahala, nescaya akan diampuni dosanya yang lalu.” (Hadis riwayat Al-Bukhari dan Muslim)

Selesai saja Ramadan bermakna lenyapnya kesempatan kita untuk menunaikan solat malam dengan jaminan pahala ampunan atas dosa dan kesilapan yang kita sudah tenggelam di dalamnya.

Sabda Rasulullah SAW bermaksud: “Siapa saja yang solat tarawih bersama imam hingga selesai, akan ditulis baginya pahala solat satu malam suntuk.” (Hadis riwayat Abu Dawud, At-Tirmidzi, An-Nasai dan Ibnu Majah)

Bagaimana dengan kualiti ibadat solat tarawih yang sudah kita lakukan? Perpisahan dengan bulan suci ini, bermakna kita akan kehilangan pahala solat tarawih satu malam suntuk.

Jika salafushalih, selama sebulan Ramadan ini berlumba-lumba membanyakkan membaca al-Quran, Malaikat Jibril memperdengarkan al-Quran kepada Rasulullah SAW, Usman bin Affan mengkhatamkan al-Quran setiap hari, Imam Asy-Syafi'i mengkhatamkan al-Quran sebanyak 60 kali di luar solat, bagaimana dengan ibadat membaca al-Quran yang kita lakukan?

Apabila Ramadan berlalu, bererti kita pun kehilangan kesempatan agung untuk memperoleh keberkatan sangat istimewa daripada membaca al-Quran pada bulan mulia ini.

Firman Allah bermaksud: “Sesungguhnya Kami sudah menurunkannya (al-Quran) pada malam kemuliaan. Tahukah kamu apakah malam kemuliaan itu? Malam kemuliaan itu lebih baik daripada seribu bulan.” (Surah al-Qadr, ayat 1-3)

Maka Rasulullah SAW sentiasa mencari malam Lailatul Qadar dan memerintahkan sahabat mencarinya. Beliau membangunkan keluarganya pada malam sepuluh terakhir dengan harapan mendapat malam Lailatul Qadar.

Perginya bulan ini daripada sisi kita, bermakna kita terlepas kesempatan tidak ternilai dalam seluruh hidup sekalipun. Maknanya, lenyap peluang kita memperoleh keuntungan 1000 bulan, iaitu kira-kira 80 tahun daripada usia kita. Mampukah kita hidup dan beramal lengkap selama 80 tahun?

Oleh itu, jangan disia-siakan detik perpisahan ini. Rasakan benar-benar kehadiran kita pada bulan ini. Lantunkan zikir, tilawah al-Quran, munajat, permohonan ampun di sini. Buang kepenatan, hilangkan rasa lelah.

Hanya untuk hari-hari terakhir menjelang perpisahan dengan bulan penuh kemuliaan, kita kejar Lailatul Qadar. Namun, apa yang lebih penting adalah semangat diambil dengan makna Lailatul Qadar.

Semangatnya, adanya sebuah perubahan sikap yang istiqamah terhadap Islam, mencintai Allah sepenuhnya tanpa dinodai dengan cinta dunia. Dengan itu kita boleh menjadi manusia yang ikhlas, menerima Islam seutuhnya, tidak separuh-separuh dan tidak memilih.

Demi perpisahan ini, menangislah kerana kita akan berpisah dengan kemuliaan dan keberkatan hebat bulan ini. Rasulullah SAW bersabda bermaksud: “Bahawa tidak akan masuk neraka orang menangis kerana takut kepada Allah sehingga ada air susu kembali ke tempat asalnya.”

BERITA HARIAN 14 SEPTEMBER 2007

Oleh Endok Sempo Mohd Tahir
SEORANG mualaf berasal dari Australia memilih memeluk Islam pada 1 Ramadan, selepas mengenali dan mengkaji Islam beberapa lama kerana katanya Ramadan adalah bulan penuh rahmat, pengampunan dan janji syurga daripada Allah. Katanya, itulah masa terbaik beliau merebut tawaran Allah yang hanya datang sekali dalam setahun. Tawaran itu pula memberi peluang beliau mengejar ganjaran amal malam Lailatul Qadar. Keputusan memilih tinggal di Malaysia turut menimbulkan rasa aneh di kalangan sahabat, tetapi pemandangan masjid dipenuhi jemaah menunaikan solat dan seruan azan berkumandang serta gaya hidup rakyat yang memenuhi tuntutan agama menguatkan hatinya untuk terus berada di negara ini.

Jika ada pertanyaan mempersoalkan kenapa beliau tidak pulang ke negara asal untuk berdakwah, jawapannya: “Belum pasti di sana ada orang yang mahu mendengar jika saya berbicara, tetapi di sini, ramai yang tertarik kerana tidak ramai orang putih memeluk Islam, boleh berbahasa Melayu dan menetap di sini. Saya tidak sanggup berpisah dengan saudara dan guru yang banyak membantu saya.” Itulah pengakuan seorang mualaf yang mendapat bantuan daripada rumah singgah mualaf yang menyediakan perlindungan kepada saudara baru. Namun, berapa ramaikah daripada mereka seperti beliau yang bertuah mendapat tempat perlindungan. Berapa ramai lagi golongan mualaf tidak ditangani dengan baik dan terumbang-ambing tanpa pembelaan. Justeru, lebih banyak rumah perlindungan perlu diwujudkan untuk menangani urusan pengislaman, pengurusan kebajikan dan latihan pembangunan pendakwah.


Pengalaman menguruskan Hidayah Center oleh Jemaah Islah Malaysia (JIM), mendapati mualaf terutama yang berketurunan Cina dan India menghadapi pelbagai persoalan sebaik mereka menyatakan diri memeluk Islam. Perkara yang selalu dihadapi adalah persoalan ekonomi dan keluarga. Bukan sedikit daripada mereka yang ‘dibuang’ keluarga dan dipecat daripada pekerjaan. Di samping itu, mereka selalu disalah anggap dan dipandang negatif oleh umat Islam berbangsa Melayu. Stigma perkauman masih ada. Di sinilah, perlunya dokongan bantuan dan perhatian umat Islam kepada mualaf. Selalunya, orang Islam di kalangan kita terharu ketika ada orang bukan Islam memeluk Islam. Apabila bukan Islam mengucapkan syahadah di masjid, kita akan menitiskan air mata gembira. Sayangnya, keseronokan hanya setakat itu saja. Kita kurang memahami permasalahan sebenar dilalui mereka. Saudara baru memerlukan sokongan dalam bentuk material, spiritual dan emosi dalam meniti kehidupan seharian. Rasulullah SAW bersabda bermaksud: “Barang siapa meringankan penderitaan Mukmin di dunia, nescaya Allah akan meringankan penderitaannya pada Kiamat dan barang siapa memudahkan urusan orang mengalami kesulitan, nescaya Allah akan memudahkan urusannya di dunia dan akhirat. Siapa saja yang menutupi (aib) Muslim, maka Allah akan menutupi aibnya di dunia dan akhirat. Allah selalu menolong hamba-Nya selama hamba itu menolong saudaranya. Siapa saja yang menempuh suatu jalan guna mencari ilmu, maka Allah akan memudahkan baginya jalan menuju syurga. Tidaklah suatu kaum (kelompok) berkumpul di rumah Allah membaca Kitabullah dan mengkajinya antara sesama mereka melainkan ketenangan akan turun di tengah mereka, rahmat meliputi mereka dan malaikat mengelilingi mereka serta Allah akan menyebut mereka di sisi malaikat. Siapa saja menjadi lamban kerana amalnya (sehingga amal salih menjadi kurang), maka tidak cukup baginya bermodalkan nasab.” (Hadis riwayat Muslim).

Oleh Endok Sempo Mohd Tahir, Artikel disediakan dengan kerjasama Hidayah Centre JIM dan penulis boleh dihubungi di emel wanitajim@yahoo.com

Oleh Endok Sempo Mohd Tahir

REJAB sudah berlalu. Kini Syaaban menjelang. Lambaian Ramadan sebulan lagi. Kita belum terlambat untuk menceriakan hidup dengan keberkatan Syaaban. Diriwayatkan dari Umamah Al Bahili ra, berkata: Rasulullah bersabda: "Apabila masuk bulan Syaaban, (cerialah) dan sukacitalah dirimu dan perbaiki niatmu."

Kita munajat dan berdoa seperti doa Rasulullah ketika masuknya Rejab:"Allhuma Bariklana fi rajab wa syaaban wa balliqhna Ramadan, bermaksud :"Ya Allah Ya Tuhan kami, anugerahkanlah keberkatan untuk kami pada Rejab dan Syaaban, dan sampaikanlah kami Ya Allah hingga Ramadan (yakni panjangkan umur kami Ya Allah sehingga kami dapat bertemu dengan Ramadan.



Inilah doa tiga serangkai yang memadukan kemuliaan ketiga-tiga bulan yang sangat berkat ini. Tiga bulan inilah bulan medan perjuangan pejuang untuk membina jati diri, membentuk sahsiah dan memupuk kebersihan hati.

Selari dengan erti Syaaban iaitu berpecah-pecah atau berpuak-puak. Pada zaman Jahiliyah, masyarakat Quraisy terpaksa berpecah kepada beberapa kumpulan untuk mencari sumber air di padang pasir.



Rasulullah mengekalkan nama Syaaban sehinggalah sekarang. Air adalah bekalan dan kehidupan bagi pejuang. Mengapa pentingnya kita mengenang pejuang dan menyalakan semangat perjuangan? Perjuangan kita dalam hidup ini adalah untuk kemerdekaan. Merdeka jiwa. Merdeka daripada segala bentuk perhambaan manusia kepada manusia.

Lebih 50 tahun lalu pejuang berjaya membawa negara kita keluar daripada belenggu penjajahan. Penjajahan tanah air, jiwa, rasa dan minda.

Bayangkan dan rasakan, mereka berjuang membela negara ini bukan untuk hidup mereka, bukan untuk keluarga mereka, bukan pula untuk hari meriah itu. Mereka berjuang untuk masa depan anak cucu dan bangsa ini. Mereka berjuang untuk kita, yang hidup saat ini, juga untuk anak cucu.

Bayangkan dan rasakan apakah pejuang akan senang melihat penjajah British dan Jepun serta pengkhianat Komunis Bintang Tiga menghina maruah umat?

Apakah pejuang akan senang melihat maraknya rasuah dan salah guna kuasa di kalangan beberapa pemimpin dan pihak bertanggungjawab? Adakah pejuang rela membiarkan rakyat bergelumang dengan dadah, judi, jenayah rogol, seks rambang dan syak wasangka kaum dan agama? Adakah pejuang boleh goyang kaki melihat umat hanyut dalam budaya hedonisme melampau sehingga tidak peka dengan budaya ilmu dan intelektual?

Kita perlu membuat pejuang bangga dan senang, dengan membangun negara ini dengan hati, bersih jiwa dan minda, jujur, bertanggung jawab, disiplin, kerjasama, adil, wawasan dan prihatin. Mari membuat bangsa ini dihormati dan disegani di mata bangsa lain di dunia.

Sempena Syaaban kita perlu mengasah dan memupuk jiwa pejuang melalui amalan membangkitkan semangat, memupuk kesucian sekali gus mengumpul pahala. Jiwa pejuang adalah jiwa menghayati makna keinsafan, kesusahan dan penderitaan.

Firman Allah bermaksud: "Dan orang yang sabar dalam kesempitan, penderitaan dan dalam peperangan. Mereka itulah orang yang benar (imannya) dan mereka itulah orang yang bertakwa" – (Surah Al-Baqarah: ayat 177).

Antara perkara yang disyariatkan pada Syaaban ialah menjelaskan hutang puasa yang tertinggal sebelum ini. Syaaban bulan melangsai hutang. Kini masanya qada puasa bagi sesetengah kita yang tertinggal puasanya pada Ramadan lalu atas sebab keuzuran dibenarkan.

Contohnya kerana sakit, musafir dan menyusukan anak. Kita tidak boleh menundanya hingga Ramadan berikutnya kerana kita akan didenda membayar kafarat ke atas setiap hari ditinggalkan.

Budaya bertangguh menggantikan puasa ini bukan baru bagi kita tetapi sudah menjadi sebati dalam kehidupan umat Islam hari ini. Ini bukan amalan pejuang. Firman Allah bermaksud: "Dan sekali-kali, Tuhanmu tidak lalai daripada apa yang kamu kerjakan". (Surah Hud, ayat 123). Hikmah diperintahkan untuk membanyakkan puasa pada Syaaban untuk membuat persediaan mental dan fizikal, melatih diri membiasakan berpuasa pada Ramadan nanti.

Kita disunatkan membanyakkan amalan puasa sepanjang Syaaban bukan hanya pada malam Nisfu Syaaban saja. Rasulullah selalu melakukannya. Dalam kitab Shahih Bukhari dan Muslim ada hadis yang diriwayatkan oleh Aisyah, dia berkata: "Aku belum pernah melihat Rasulullah menyempurnakan puasa selama satu bulan penuh kecuali pada Ramadan dan aku belum pernah melihat beliau memperbanyakkan puasa (sunat) dalam satu bulan kecuali pada Syaaban".

Syaaban dikenali sebagai bulan muhasabah diri, iaitu memperbaiki dan melihat kembali watak diri sendiri. Memperbaiki sifat mazmumah seperti dengki, takbur dan sombong yang semakin runcing membekam dalam diri sebahagian daripada kita, umat Islam masa kini. Selain memperbaiki, digalakkan juga melihat kembali sifat mahmudah.

Adakah kita selama 11 bulan lalu sudah memperbanyakkan amalan baik seperti ikhlas, reda dan sedekah. Tidak cukup dengan solat, puasa dan zakat maka kita murnikan dengan ikhlas dan reda.

Apalah maknanya solat yang banyak tetapi tidak ikhlas? Sering berpuasa tetapi turut mengamalkan lihat perkara yang 'syubhah'. Apalah ertinya setiap tahun kita mengerjakan haji tetapi riak mahu dilihat sebagai orang yang berada dan suka dipuji?

Dalam Syaaban kita digalakkan bertaubat, membanyakkan doa, menggandakan zikir dan berselawat kepada Rasulullah. Sabda Rasulullah: "Barang siapa yang mengagungkan Syaaban, bertakwa kepada Allah, taat kepada-Nya serta menahan diri daripada perbuatan maksiat, maka Allah Taala mengampuni semua dosanya dan menyelamatkannya di dalam tahun itu daripada segala macam bencana dan penyakit."

Dalam kita beramal meraikan Syaaban, janganlah pula kita kaitkan dengan amalan bidaah tertentu yang tidak disyariatkan oleh Allah.



Artikel disediakan dengan kerjasama Wanita JIM dan penulis boleh dihubungi menerusi emel wanitajim0@yahoo.com

Oleh Endok Sempo Mohd Tahir

SEMUA mendambakan rumah yang aman damai ibarat syurga tanpa gangguan dan ketakutan. Segala kegembiraan, kebahagiaan, ketenangan, suka dan ceria terangkum dalamnya. Hal ini dilukiskan dalam sebuah harapan, ‘Rumahku Syurgaku’.

Syurga tidak disediakan Allah untuk syaitan, tetapi disediakan untuk orang beriman, yang sentiasa menyucikan dirinya dan membersihkan jiwanya dengan taat kepada Allah.



Pada awal penciptaannya, iblis bapa syaitan tinggal dalam syurga. Disebabakan sikap iblis yang sombong dan bongkak, maka Allah melaknat dan menghalaunya dari syurga berdasarkan firman-Nya bermaksud: “Keluarlah kamu dari syurga itu sebagai orang terhina lagi terusir. Sesungguhnya barang siapa di antara mereka (manusia) mengikuti kamu, benar-benar Aku akan mengisi neraka Jahanam dengan kamu semuanya.” (Surah al-A'raaf, ayat 18)

Dalam kitab Buyut laa tadkhuluha asy-syayathin (Rumah yang tidak dimasuki syaitan) karangan ulama Asia Barat, Ahmad As-Sayim, menerangkan ada dua kriteria penyebab rumah tidak akan ditembusi syaitan dan tidak akan dirasuk jin iblis.



Kriteria pertama kerana ibadat diamalkan dan aqidah dipegang orang yang berada dalam rumah itu, manakala kedua, kerana akhlak dan perilaku penghuninya. Penghuni rumah itu terdiri daripada orang yang sentiasa menjaga akhlak, kelakuan dan perilaku ketika berinteraksi sesama anggota keluarga, rakan taulan serta jiran tetangga.

Ciri rumah mereka yang menjaga ibadat:

# Penghuni rumah yang sentiasa menyucikan dirinya dan sentiasa ingat kepada Allah, mereka menjaga kesucian badan, membersihkan diri selepas buang air besar atau kecil dengan cara yang betul, tidak membuang air besar di dalam air.

Kebersihan diri menjadi budaya dan sebagai ibadat dalam bentuk mandi kerana hadas besar seperti mandi junub, haid dan nifas, menggosok gigi dengan siwak, memotong kuku, mencukur bulu, merapikan janggut dan lain-lain.

Mereka juga menjaga kebersihan batin. Hatinya suci daripada dendam dan hasad dengki. Lidahnya dijaga supaya tidak menyakiti orang lain serta tidak menuturkan kata kotor dan tidak berfaedah. Fikiran dan lidahnya hanya mengingat dan menyebut Allah sepanjang waktu.

Allah berfirman bermaksud: “Sesungguhnya Allah menyintai orang yang bertaubat dan menyukai orang yang menyucikan diri?” (Surah al-Baqarah, ayat 222)

# Rumah dipenuhi alunan bacaan al-Quran dan zikrullah. Orang yang sentiasa rukuk dan sujud kepada Allah perumpamaan mereka seperti digambarkan dalam firman Allah bermaksud: “Mereka itu ialah : Orang yang bertaubat, beribadat, memuji Allah, mengembara (untuk menuntut ilmu dan mengembangkan Islam), yang rukuk, sujud, menyuruh berbuat kebaikan dan melarang daripada kejahatan, serta menjaga batas-batas hukum Allah dan gembirakan orang yang beriman (yang bersifat demikian).” (Surah at-Taubah, ayat 112)

# Rumah yang penghuninya sentiasa bersikap benar, jujur dan memenuhi janji.

# Rumah yang penghuninya sentiasa menjaga punca pemakanan dan hanya mengambil yang halal saja. Makanan halal dari segi penyediaannya menurut syariat, tidak diambil daripada harta anak yatim, bukan hasil rampasan, penganiayaan, penipuan, bukan hasil rasuah dan bukan hasil riba.

# Rumah yang penghuninya sentiasa menjaga dan menghubungkan tali silaturahim. Rumah yang dipenuhi kecintaan, kasih sayang, kelembutan, tolak ansur, sabar adalah orang yang menjaga silaturahim. Menghubungkan silaturahim wajib mendapat pahala dan memutuskannya haram dan berdosa.

# Rumah yang penghuninya sentiasa menjaga adab dan berbakti kepada kedua orang tuanya. Mereka menyayangi kedua ibu bapanya, tidak derhaka kepada keduanya, menghormati keduanya, mendengar nasihat mereka dan bermesyuarat dalam sebarang keputusan yang akan diambil. Apabila ibu bapa sudah tua, berikan perhatian terhadap diri dan emosi, kesihatan, kewangan dan apa juga keperluan mereka.

# Rumah yang penghuninya terdiri daripada pasangan yang salih dan salihah, saling faham memahami, bekerjasama serta bertolak ansur.

# Rumah yang penghuninya melaksanakan hak dan kewajipannya. Suami dan isteri melaksanakan tanggungjawab dan menunaikan hak masing masing. Bukan suami curang dan isteri derhaka.

Penulis ialah Ahli Jawatankuasa Wanita JIM dan boleh dihubungi di emel wanitajim0@yahoo.com

Oleh Endok Sempo Mohd Tahir

SEMUA mendambakan rumah yang aman damai ibarat syurga tanpa gangguan dan ketakutan. Segala kegembiraan, kebahagiaan, ketenangan, suka dan ceria terangkum dalamnya. Hal ini dilukiskan dalam sebuah harapan, ‘Rumahku Syurgaku’.

Syurga tidak disediakan Allah untuk syaitan, tetapi disediakan untuk orang beriman, yang sentiasa menyucikan dirinya dan membersihkan jiwanya dengan taat kepada Allah.



Pada awal penciptaannya, iblis bapa syaitan tinggal dalam syurga. Disebabakan sikap iblis yang sombong dan bongkak, maka Allah melaknat dan menghalaunya dari syurga berdasarkan firman-Nya bermaksud: “Keluarlah kamu dari syurga itu sebagai orang terhina lagi terusir. Sesungguhnya barang siapa di antara mereka (manusia) mengikuti kamu, benar-benar Aku akan mengisi neraka Jahanam dengan kamu semuanya.” (Surah al-A'raaf, ayat 18)

Dalam kitab Buyut laa tadkhuluha asy-syayathin (Rumah yang tidak dimasuki syaitan) karangan ulama Asia Barat, Ahmad As-Sayim, menerangkan ada dua kriteria penyebab rumah tidak akan ditembusi syaitan dan tidak akan dirasuk jin iblis.



Kriteria pertama kerana ibadat diamalkan dan aqidah dipegang orang yang berada dalam rumah itu, manakala kedua, kerana akhlak dan perilaku penghuninya. Penghuni rumah itu terdiri daripada orang yang sentiasa menjaga akhlak, kelakuan dan perilaku ketika berinteraksi sesama anggota keluarga, rakan taulan serta jiran tetangga.

Ciri rumah mereka yang menjaga ibadat:

# Penghuni rumah yang sentiasa menyucikan dirinya dan sentiasa ingat kepada Allah, mereka menjaga kesucian badan, membersihkan diri selepas buang air besar atau kecil dengan cara yang betul, tidak membuang air besar di dalam air.

Kebersihan diri menjadi budaya dan sebagai ibadat dalam bentuk mandi kerana hadas besar seperti mandi junub, haid dan nifas, menggosok gigi dengan siwak, memotong kuku, mencukur bulu, merapikan janggut dan lain-lain.

Mereka juga menjaga kebersihan batin. Hatinya suci daripada dendam dan hasad dengki. Lidahnya dijaga supaya tidak menyakiti orang lain serta tidak menuturkan kata kotor dan tidak berfaedah. Fikiran dan lidahnya hanya mengingat dan menyebut Allah sepanjang waktu.

Allah berfirman bermaksud: “Sesungguhnya Allah menyintai orang yang bertaubat dan menyukai orang yang menyucikan diri?” (Surah al-Baqarah, ayat 222)

# Rumah dipenuhi alunan bacaan al-Quran dan zikrullah. Orang yang sentiasa rukuk dan sujud kepada Allah perumpamaan mereka seperti digambarkan dalam firman Allah bermaksud: “Mereka itu ialah : Orang yang bertaubat, beribadat, memuji Allah, mengembara (untuk menuntut ilmu dan mengembangkan Islam), yang rukuk, sujud, menyuruh berbuat kebaikan dan melarang daripada kejahatan, serta menjaga batas-batas hukum Allah dan gembirakan orang yang beriman (yang bersifat demikian).” (Surah at-Taubah, ayat 112)

# Rumah yang penghuninya sentiasa bersikap benar, jujur dan memenuhi janji.

# Rumah yang penghuninya sentiasa menjaga punca pemakanan dan hanya mengambil yang halal saja. Makanan halal dari segi penyediaannya menurut syariat, tidak diambil daripada harta anak yatim, bukan hasil rampasan, penganiayaan, penipuan, bukan hasil rasuah dan bukan hasil riba.

# Rumah yang penghuninya sentiasa menjaga dan menghubungkan tali silaturahim. Rumah yang dipenuhi kecintaan, kasih sayang, kelembutan, tolak ansur, sabar adalah orang yang menjaga silaturahim. Menghubungkan silaturahim wajib mendapat pahala dan memutuskannya haram dan berdosa.

# Rumah yang penghuninya sentiasa menjaga adab dan berbakti kepada kedua orang tuanya. Mereka menyayangi kedua ibu bapanya, tidak derhaka kepada keduanya, menghormati keduanya, mendengar nasihat mereka dan bermesyuarat dalam sebarang keputusan yang akan diambil. Apabila ibu bapa sudah tua, berikan perhatian terhadap diri dan emosi, kesihatan, kewangan dan apa juga keperluan mereka.

# Rumah yang penghuninya terdiri daripada pasangan yang salih dan salihah, saling faham memahami, bekerjasama serta bertolak ansur.

# Rumah yang penghuninya melaksanakan hak dan kewajipannya. Suami dan isteri melaksanakan tanggungjawab dan menunaikan hak masing masing. Bukan suami curang dan isteri derhaka.

Penulis ialah Ahli Jawatankuasa Wanita JIM dan boleh dihubungi di emel wanitajim0@yahoo.com

Older Posts