Oleh Endok Sempo M Tahir
SAYA mengagumi seorang jejaka yang juga pemimpin pelajar kerana sikapnya yang tidak ego dan menghormati wanita. Kami pernah bertemu dan berbual. Sejak itu, saya berasakan perasaan aneh yang menurut rakan, itulah cinta. Adakah bercinta itu salah? Apakah perspektif Islam mengenai cinta.
Siti Murni
Bandar Baru Uda, Johor.
CINTA adalah sebahagian daripada fitrah manusia. Cinta memang sudah ada dalam diri kita. Bersyukurlah orang yang diberi cinta dan mampu menyingkap rasa cinta dengan tepat dan menurut syariah.
Bercinta tidak salah jika diniatkan untuk menuju alam perkahwinan yang diredai Allah. Nabi Muhammad SAW meninggalkan resipi cinta yang diriwayatkan Abdullah bin Mas'ud: “Wahai generasi muda, barang siapa di antara kalian mampu serta berkeinginan untuk bernikah. Kerana sesungguhnya pernikahan itu dapat menundukkan pandangan mata dan memelihara kemaluan. Dan barang siapa di antara kalian belum mampu, maka hendaklah berpuasa, kerana puasa itu dapat menjadi penghalang untuk melawan gejolak nafsu.” (Hadis riwayat Bukhari, Muslim, Ibnu Majah, dan Tirmidzi)
Apabila kita sudah membetulkan niat, maka kita mesti menjadikan diri kita ‘salihah’ supaya orang yang salih akan datang menemui kita atau ditemukan Allah. Kita wajib ingat bahawa jodoh adalah ketentuan Allah, manusia hanya boleh merancang tetapi Allah yang menentukan. Kita cuma dapat berusaha mencari jodoh yang baik menurut Islam.
Firman Allah yang bermaksud: “Dijadikan indah pada pandangan manusia, kecintaan kepada apa-apa yang diinginkan iaitu wanita, anak, harta yang banyak dari jenis emas, perak, kuda pilihan, binatang ternak dan sawah ladang. Itulah kesenangan hidup di dunia dan di sisi Allah tempat kembali yang baik.” (Surah al-Imran, ayat 14)
Cinta paling tinggi martabatnya adalah cinta kerana Allah, kita bertemu dan berpisah kerana Allah. Pakar psikologi, Prof Madya Dr Mat Saat Baki, pernah menulis: “Cinta itu berkembang. Kita tidak jatuh cinta. Cinta pandang pertama adalah satu mitos. Sebenarnya perasaan cinta itu berkembang dari semasa ke semasa. Lebih lama kita memahami, mengenali seseorang itu, akan lebih dalam perasaan cinta. Namun, menurut beberapa kajian dan perkongsian pengalaman, ternyata cinta pertama tidak diperlukan sebagai asas kebahagiaan tetapi boleh membantu untuk mencapai kebahagiaan.”
Tetapi jika tidak berhati-hati, cinta boleh membutakan mata hati kita. Seperti sabda Rasulullah SAW yang bermaksud: “Cintamu kepada sesuatu menjadikan kamu buta dan tuli.” (Hadis riwayat Abu Daud dan Ahmad)
Sabda Rasulullah lagi yang bermaksud: “Hendaklah kita benar-benar memejamkan mata dan memelihara kemaluan, atau nanti Allah benar-benar akan menutup rapat matamu.” (Hadis riwayat Tabrani)
Cinta yang selalu menjadi dugaan dan membawa padah ialah cinta yang cenderung kepada maksiat. Cinta yang semakin menggelorakan hawa nafsu, makin berkurang rasa malu dan akhirnya terlanjur. Inilah paling merbahaya. Dari sinilah bermulanya fenomena cinta terlarang, seks tanpa nikah yang merosakkan generasi dan mencemar keturunan.
Allah berfirman yang bermaksud: “Dan janganlah kamu mendekati zina; sesungguhnya zina itu adalah suatu perbuatan yang keji dan suatu jalan yang buruk.” (Surah Al Isra', ayat 32)
Islam tidak melarang atau mengekang manusia daripada rasa cinta tetapi mengarahkan cinta berjalan di atas landasan yang menjaga martabat kehormatan, baik wanita mahupun lelaki. Jika kita jatuh cinta, perlu berhati-hati kerana seperti minum air laut, semakin diminum semakin haus. Cinta yang sejati adalah cinta yang tumbuh selepas akad nikah.
Cara untuk mengendalikan rasa cinta adalah dengan menjaga pandangan, tidak berkhalwat atau berdua-duaan dalam bentuk apapun dan tidak saling bersentuhan apatah lagi bercium dan berpelukan, memang jelas haramnya.
Seperti sabda Rasulullah SAW yang bermaksud: “Janganlah seorang lelaki dan wanita berkhalwat (berduaan di tempat sepi), sebab syaitan menemaninya, janganlah salah seorang daripada kalian berkhalwat dengan wanita, kecuali disertai dengan mahramnya.” (Hadis riwayat Bukhari dan Muslim)
Jika bimbang keterlanjuran cinta, alihkan rasa cinta itu kepada Allah dengan membanyakkan selawat, zikir, istighfar dan solat sehingga kita tidak diperdayakan oleh nafsu. Jika kita tewas, nafsu yang akan memperdayakan kita.
Jawapan disediakan oleh Endok Sempo M Tahir, Ahli Jawatankuasa Wanita JIM Pusat. Segala persoalan dan jawapan yang lalu boleh dilayari di www.bicarakalbu.blogspot.com
Bicara Kalbu: Rumah biar bernuansa iman, berisi zikrullah
SAYA dan suami membeli sekeping tanah untuk membina rumah sendiri selepas menabung lebih 10 tahun. Beberapa kawan dan ahli keluarga menasihatkan untuk membuat perancangan berkaitan kedudukan angin masuk dan keluar, cahaya cukup atau sebaliknya, arah matahari terbit atau tenggelam yang dikaitkan dengan feng shui. Adakah Islam mengajarkan panduan, adab atau tata cara membina rumah, perlukah membaca surah tertentu daripada al-Quran sebelum menduduki rumah, adakah amalan feng shui yang popular di kalangan bangsa Cina selari dengan Islam?
Ali dan Basmah,
Bandar Baru Bangi.
Tuntutan Islam mengenai adab atau tata cara membangun rumah secara putus dan jelas belum dijumpai. Namun, ada nas yang menyentuh mengenai rumah atau tempat tinggal, dalam firma Allah yang bermaksud: “Dan Allah menjadikan bagimu rumah-rumahmu sebagai tempat tinggal.” (Surah an-Nahl, ayat 80)
Ibnu Kathir mengulas ayat berkenaan dengan menyatakan: “Rumah adalah sebahagian daripada kesempurnaan nikmat yang Allah berikan pada manusia, sebagai tempat tinggal, tempat istirahat, dan dapat mengambil manfaat dari apa juga kebaikan dan manfaatnya.
Sabda Rasulullah SAW yang diriwayatkan At-Thabrani: “Sungguh beruntung bagi siapa yang mengekang (menjaga) lidahnya, luas rumahnya dan menangis (bertaubat) atas kesalahannya.”
Oleh itu, apabila Allah memberikan kurnia-Nya daripada keluasan rezeki-Nya kepada kita kerana dapat memiliki rumah, maka kita perlu mengambil berat mengenainya. Kita perlu memperhatikan perkara yang berkaitan dengan susun atur atau reka bentuk yang memudahkan kita untuk beribadah dan berinteraksi.
Dari segi lokasi dan letak kedudukan, kita pastikan ia berdekatan dengan surau atau masjid. Tujuannya bukan sekadar mengingatkan masuknya waktu solat, tetapi memudahkan untuk menunaikan solat berjemaah, dapat membudayakan anak dengan suasana ibadah dan aktiviti surau atau masjid. Lokasi juga penting supaya kita boleh memilih jiran tetangga yang baik sebelum memilih rumah. Jiran tetangga ibarat adik beradik kita nanti.
Selain mengambil kira faktor kesihatan, ruang udara yang memadai, kita perlu merancang ruang letak dan susun atur bilik supaya terjaga aurat dan maruah. Contohnya, bilik tidur anak lelaki dan perempuan dipisah, ruang tamu sedikit tertutup supaya aktiviti keluarga tidak terdedah dan mudah dilihat.
Pembinaan tandas dipastikan tidak menghadap atau membelakangkan kiblat. Saiz bilik mandi dibina agak besar supaya mudah untuk memandikan mayat di dalam bilik berkenaan. Jika kita lihat banyak keadaan sekarang di mana mayat dimandikan di tengah ruang rumah yang hanya di tutup dengan rentangan kain sedangkan semasa hayatnya, simati mandi dalam bilik yang tertutup cantik dan batas auratnya terjaga, aibnya tertutup. Perkara itu akan terus terjaga jika daripada awal pembinaan bilik mandi direkabentuk untuk mandi semasa hayat dan disesuaikan untuk dimandikan mayat ketika matinya.
Bila berasa sukar untuk memenuhi semua itu, paling tidak kita menghayati semangat bagaimana mencipta sebuah rumah yang bernuansa iman dan berisi zikrullah bagi penghuninya. Dengan mengharapkan rumah itu dapat memenuhi wawasan rumahku syurgaku.
Jawapan disediakan Lembaga Penasihat Pusat Sokongan Wanita dan keluarga JIM. Emel wanitajim0
Labels: Doa, Kekeluargaan, rumhku syurgaku, suami-isteri, zikir
Bicara Kalbu: Cinta sejati tumbuh selepas akad nikah
Labels: Doa, Jatidiri, Jihad, Kasih sayang, Kekeluargaan, Pendidikan seks, Perkahwinan, remaja, suami-isteri
Bicara Kalbu: Amalan tengah malam peluang nikmati rahmat
SAYA selalu berasakan nasib, tidak menyebelahi saya kerana apa yang saya mimpikan tidak pernah menjadi kenyataan. Apa yang saya inginkan tidak dapat saya nikmati. Saya tertekan dengan kejayaan dan kebahagiaan yang dikecapi kawan. Apakah perlu saya lakukan untuk mengubati rasa resah dan kecewa.
Gadis malang,
Salak Selatan.
ADA banyak persoalan melingkari kehidupan kita, baik masalah peribadi, keluarga, kerja atau lebih besar daripada itu. Seiring dengan masalah yang di hadapi, banyak pula cara boleh kita lakukan untuk menyelesaikannya.
Kita boleh mengatasinya menerusi kecerdasan akal, kemampuan fizikal, harta kekayaan, perhubungan atau apa saja. Namun, tidak ada yang paling ampuh, selain meminta pertolongan Allah sambil berusaha.
Allah tidak pernah berjanji, bahawa langit selamanya akan berwarna biru, bunga selamanya akan mekar kepada satu arah tertentu, matahari akan selalu bersinar tanpa hujan, kesenangan akan datang tanpa kesedihan dan kedamaian akan datang tanpa penderitaan.
Tetapi, Allah berjanji bahawa ada kekuatan yang datang setiap hari, istirahat bagi yang bekerja, cahaya bagi yang berjalan di jalan-Nya. Kebahagiaan akan tiba sesudah banyaknya dugaan dan rintangan, bantuan-Nya akan datang secara berterusan, Dia akan terus mengasihi kita tanpa henti, cinta-Nya akan kekal abadi.
Kita hanya mampu memohon kepada Allah supaya Dia mengizinkan kita ketawa, jangan biarkan kita lupa bahawa kita pernah menangis sebelum mendapatkannya.
Mengapa pertolongan Allah? Tidak ada satu masalah pun terjadi, kecuali atas izin Allah. Semuanya ada dalam genggaman Allah. Dalam keadaan demikian, alangkah mudahnya jika Allah membuka jalan kemudahan bagi sesiapa yang ditimpa masalah. Disebabkan itu, masalah terbesar dalam hidup adalah ketika kita tidak mendapat pertolongan Allah.
Seberat mana persoalan akan menjadi ringan bila dibantu Allah. Bagaimana caranya kita ditolong oleh Allah? Jawapannya ada dalam al-Quran iaitu firman Allah yang bermaksud: “Barang siapa yang bertakwa kepada Allah, nescaya dia akan menyediakan baginya jalan keluar. Dan memberinya rezeki dari arah yang tidak diduga. Dan barang siapa yang bertawakal kepada Allah nescaya Allah akan mencukupkan (keperluannya). Sesungguhnya Allah melaksanakan urusan (yang dikehendaki-Nya. Sesungguhnya Allah menentukan setiap sesuatu.” (Surah at-Thalaq, ayat 1-2)
Oleh itu, kunci pembuka bantuan Allah ada dalam ketakwaan kita. Semakin takwa kita, semakin terbuka lebar pintu pertolongan Allah. Sebaliknya, semakin ingkar kita, semakin tertutup rapat pintu pertolongan Allah.
Masjid adalah rumah Allah dan pertolongan Allah akan datang kepada sesiapapun yang cinta dan gemar memakmurkan masjid.
Sepertiga malam terakhir adalah waktu yang sangat dicintai Allah. Sangat rugi yang mensia-siakan waktu sepertiga malam terakhir, sebab ia mensia-siakan datangnya pertolongan Allah.
Bersedekah adalah amalan luar biasa kerana dengan bersedekah, rezeki, urusan menjadi mudah, kita pun terhindar daripada musibah. Jaminan daripada Allah demikian pasti kepada ahli sedekah kerana sesungguhnya Allah menolong orang yang gemar membantu saudara.
Jawapan disediakan panel penasihat Pusat Sokongan Wanita dan Keluarga (Paksi) JIM.
Labels: Doa, Harga diri, Jatidiri, Muhasabah, Musibah sakit, tahajjud, taubat
Bicara Kalbu: Jiwa anak perlu diterap nilai mulia Rasulullah
SAYA ibu kepada tiga anak berumur empat, lapan dan 10 tahun. Bagaimana cara menyemai perasan cintakan Nabi Muhammad SAW dalam diri anak saya?
Cinta adalah ungkapan sangat indah dalam kehidupan manusia. Dengan cinta manusia sengsara dan dengan cinta manusia bahagia. Syurga boleh diraih dengan cinta, iaitu cinta hakiki kepada insan terpilih bernama Nabi Muhammad Rasulullah SAW.
Firman Allah bermaksud: Katakanlah “Jika bapa, anak, saudara, isteri, keluargamu, harta kekayaan yang kamu usahakan, perniagaan yang kamu khuatir kerugian, dan rumah tempat tinggal yang kamu sukai, adalah lebih kamu cintai daripada Allah dan Rasul-Nya dan (dari) jalan berjihad di jalan-Nya, maka tunggulah sampai Allah mendatangkan keputusan-Nya. Dan Allah tidak memberi petunjuk kepada orang-orang fasik.” (Surah At-Taubah, ayat 24)
Puan inginkan anak mengenali dan mencintai Rasul mereka. Apabila anak mengenali dan mencintai Rasul, hasilnya akan dapat dilihat dalam tingkah laku mereka. Akhlak Rasulullah SAW akan terpapar dalam tindak tanduk mereka.
Namun, kerja ini tidak mudah kerana puan perlu menjadi contoh kepada anak terlebih dulu dan caranya:
> Rasulullah SAW sebagai teladan
Puan perlu terapkan nilai ‘kenali nabi’ kepada anak kecil dengan menjadikan sirah nabi sebagai bahan cerita kepada mereka. Anak suka mendengar cerita dan ceritalah mengenai insan bernama Muhammad SAW.
Ceritakan peri laku Baginda, pengorbanannya, kasih sayangnya kepada umatnya, pembelaan kepada agamanya. Cinta kepada Rasulullah SAW dengan sebenar cinta adalah asas akidah seorang Muslim.
Cinta bermula daripada kekaguman. Demikian pula hanya pujian terhadap budi pekerti Rasulullah SAW melahirkan cinta yang tidak dapat dipisahkan rentetan zaman yang terbentang panjang.
Imam Bukhari meriwayatkan daripada Abdullah bin Hisyam bahawa dia berkata, kami pernah bersama Nabi. Sementara Baginda memimpin tangan Umar bin Khathab, Umar berkata kepada Baginda, “Wahai Rasulullah, sesungguhnya engkau lebih aku cintai dari segala sesuatu kecuali diriku. Nabi bersabda, “Tidak, demi Allah yang jiwaku ada di tangan-Nya. Hingga kamu lebih mencintai aku daripada dirimu sendiri? Umar berkata kepadanya, “Sesungguhnya sekarang engkau lebih aku cintai daripada diriku sendiri. Nabi bersabda, “Sekarang, wahai Umar? (Hadis riwayat Bukhari)
Anak perlu ditunjuk, diajar, dilatih dan paling penting selalu diingatkan mengenai akhlak yang baik dan tingkah laku tidak digemari orang. Berikan galakan dan anggukkan kepala jika puan bersetuju.
Budayakan komen positif apabila anak berbuat baik. Jangan bertangguh berikan penghargaan dan iktiraf kebajikan dilakukan. Kaitkan setiap akhlak yang baik itu ada dalam diri Rasulullah SAW.
Apabila anak puan melakukan kesalahan atau perbuatan tidak elok, jangan bertindak negatif, bercakap dan tunjukkan cara betul dan katakan kepadanya mengapa harus dibuat begitu. Elak berleter.
> Rasulullah SAW kaya sifat mulia
Sifat Rasulullah SAW diterjemahkan dalam kehidupan seharian puan bersama anak. Kesempurnaan Baginda tiada bandingan. Baginda pemaaf, penyayang, sabar, adil dan jujur.
Untuk memupuk akhlak mulia dalam diri dan jiwa anak, cuba panduan berikut:
# Puan menjadi pendengar yang baik
Dengar dulu setiap patah perkataan diucapkan. Jangan sekali-kali menyampuk atau memotong cakap anak. Ketika bercakap, pegang tangannya atau letakkan tangan di atas bahunya supaya dia berasa kehadiran puan.
# Elakkan gelaran melukakan
Elakkan memanggil anak dengan gelaran yang dibenci (terutama apabila puan marah). Walaupun kadang-kadang ia hanya gurauan tetapi gelaran itu boleh melukakan hatinya.
Elak melabel perbuatan anak, sebaliknya minta mereka jelaskan perbuatan mereka.
# Selalu memberikan salam kepada tetamu atau bertamu ke rumah orang. Tunjukkan kegembiraan dan sentiasa mengalu-alukan kedatangan tamu ke rumah. Ajar anak bersalam dan hormat kepada tetamu.
# Latih buat kerja
Sama ada di rumah atau berkunjung rumah orang lain, didik anak membersihkan bekas makanan. Ceritakan bagaimana Rasulullah SAW menjadi orang pertama menjenguk salah seorang Quraisy yang selalu meludahnya setiap kali Baginda ke masjid untuk menunaikan solat Subuh.
Baginda turut membantu sahabat membuat parit ketika Perang Khandak. Jadikan Baginda contoh idola dalam mendidik anak semoga akhlak anak puan turut mengikut akhlak Rasulullah SAW.
Jawapan disedia oleh Endok Sempo Tahir dengan kerjasama Wanita JIM. Persoalan dan jawapan boleh dilayari di www.bicarakalbu.blogspot.com
Labels: Kasih sayang, keibubapaan, Kekeluargaan, Maulud Nabi
Bicara Kalbu: Suri rumah boleh manfaat ilmu untuk kerja sukarela
0 comments Posted by Mama at 2:02 AMBicara Kalbu: Suri rumah boleh manfaat ilmu untuk kerja sukarela
Soalan;
Saya seorang ibu dan isteri berusia 35 tahun. Selepas tamat pengajian dari pusat pengajian luar negara saya bekerja sebagai seorang Jurutera Awam yang menghabiskan masa di tapak projek. Apabila saya berumahtangga dan melahirkan 3 orang anak saya merasa kehidupan saya berubah. Cabaran memenuhkan tanggungjawab sebagai seorang isteri dan ibu bekerja amatlah besar. Saya merasa bersalah terhadap suami dan anak anak kerana selalu balik lewat malam dan keluar pagi terlalu awal. Tambahan pula pembantu rumah silih berganti. Akhirnya saya memutuskan untuk berhenti kerja kerana kedudukan kewangan keluarga semakin baik dan perniagaan suami telah meningkat. Suami saya adalah orang yang paling bahagia dalam dunia apabila mengetahui mengenai keputusan itu. Sejak hari itu anak anak saya bersarapan pagi bersama dan sentiasa mencium tangan saya setiap kali mereka akan keluar ke sekolah. Mereka kelihatan seronok dan saya rasa sungguh bahagia.
Setelah lebih kurang 5 tahun menjadi suri rumah sepenuh masa, anak-anak saya membesar dan mencapai kecemerlangan dalam pelajaran masing-masing. Dua dari anak saya telah memasuki sekolah berasarama penuh. Kini tinggal anak bongsu yang masih bersekolah rendah. Sejak akhir akhir ini saya rasa bosan, tidak berkembang dan rendah harga diri (low self esteem). Tambahan pula, suami semakin sibuk dengan perniagaannya yang telah menjangkau ke arena antarabangsa.
Tiba-tiba datang idea dan hasrat untuk bekerja semula. Suami saya hanya mendiamkan diri apabila saya mengajukan hasrat saya itu. Anak bongsu saya terkedu dan senyuman nya hilang seketika. Adakah saya seorang yang pentingkan diri sendiri. Tolong berikan sedikit pandangan.
Ibu Dilema
Subang Jaya
JAWAPAN;
Apabila saya membaca masalah puan, saya merasakan bahwa puan adalah seorang isteri dan ibu yang sempurna. Puan telah mengecap erti kebahagiaan dalam kehidupan. Keluarga yang stabil dan bahagia, suami yang penyayang dan anak anak yang comel adalah anugarah Ilahi yang puan harus syukuri.
” Nikmat Tuhan manakah yang kamu dustakan”. Maksud Surah Ar Rahman, ayat 12
”Dan jiwa beserta penyempurnaannya
Allah mengilhami jiwa kebaikan dan keburukan
Beruntunglah mereka yang membersihkannya
Dan merugilah mereka yang mengotorinya”...Maksud Surah As Syams ayat:7-10)
Mungkin kebosanan dan perasaan sunyi sekali sekala menghantui jiwa puan. Bersihkan jiwa puan dari belenggu itu.Apakah matlamat yang lebih mulia dalam hidup ini selain untuk mendapat keredhaan Allah, kasih sayang suami dan keluarga dan pengiktirafan masyarakat sekeliling. Kepuasan diri tercapai apabila kita berjaya membahagiakan manusia lain. Kepuasan diri seorang wanita boleh dicapai tanpa mengira samada dia bekerja atau tidak bekerja.
Ramai beranggapan bahawa selepas berhempas pulas belajar di menara gading, kita mesti bekerja di tempat yang setara dengan kelulusan yang dicapai dan memperoleh pendapatan yang tinggi. Selain dari itu ada juga yang beranggapan dengan bekerja, wanita akan memperoleh kebebasan dan memenuhi kepuasan diri. Menurut pandangan ini, dengan bekerja wanita akan bebas daripada belenggu yang menyebabkan mereka tertinggal di belakang. Anggapan ini kurang tepat.
Demikian juga wanita yang memilih untuk tidak bekerja, pasti mempunyai alasan yang kukuh juga. Tidak bekerja atau berhenti kerja bukan semata-mata semata-mata kerana sudah kaya raya dan cukup duit atau sudah puas mengecapi kebebasan. Alasannya jauh lebih murni daripada itu. Jadi alasan untuk bekerja atau tidak bekerja bukanlah semata-mata kerana isu wang ringgit atau isu hendakkan kebebasan atau kepuasan diri sendiri sahaja. Apakah kekayaan dan kepuasan diri semata-mata yang dikejar atau ada sesuatu perkara lain yang menjadi matlamat hidup kita?
Keperluan untuk memilih samada keluar bekerja atau tidak berkerjaya bergantung kepada keperluan sesuatu keluarga. Setiap keluarga mempunyai keperluan yang berbeza. Satu keluarga satu skrip yang unik. Perkara yang penting wanita tersebut tahu, dia punya alasan yang kukuh dan yakin terhadap pilihan yang telah dibuat. Sabda Rasulullah SAW bermaksud:
“Bukanlah kekayaan itu harta yang melimpah akan tetapi kekayaan yang sebenar-benarnya ialah kaya jiwa”.
Semua wanita mempunyai impian apabila bergelar isteri dan ibu, mahu menjadi ibu misali kesayangan anak-anak. Ramai yang bercita-cita ingin menjadi pendidik dan pembimbing kepada anak-anak; seperti Asma' Binti Abu Bakar, yang tanpa jemu meniupkan semangat jati diri dan perjuangan kepada anaknya, Abdullah Ibn Zubair.
Ramai pula berhasrat menjadi wanita sejati dan mencontohi wanita-wanita tauladan. Ingin menjadi teman dan penghibur kepada suami di kala senang dan susah; seperti Saidatina Khadijah, isteri Rasulullah saw . Peranan yang dimainkan oleh Saidatina Khadijah tentu begitu besar dan berkesan, sehingga suaminya Rasulullah saw berkata:
" Siapakah yang boleh terfikir akan berkahwin selepas ketiadaan Khadijah?" . Isteri mana yang tidak menginginkan pengiktirafan seperti itu dari suami tercinta.
Tetapi berapa orang wanita wanita yang bertuah mendapatkan semua itu?
Saya telah bekerja selama lebih 20 tahun. Saya menemui ramai wanita berkerjaya dan juga pengurus rumahtangga sepenuh masa. Saya temui wanita bekerjaya yang berjaya di alam pekerjaan dan masyarakat dan ada juga yang tertekan dengan kerjaya yang mencabar. Demikian juga saya temui suri-suri rumah sepenuh masa itu yang telah memberikan sumbangan hebat mereka kepada keluarga, masyarakat dan negara dengan efektif. Saya menyedari bahawa untuk mencontohi wanita-wanita mithali tersebut diatas tadi, kita tidak semestinya semata-mata 'bekerja' atau 'tidak bekerja'. Perkara yang penting ialah niat dan matlamat kita bekerja atau tidak bekerja untuk apa, untuk siapa dan mahu ke mana?. Kita tidak harus memikirkan diri sendiri dan keluarga sendiri sahaja. Sebaliknya kita perlu memanfaatkan potensi diri dengan melaksanakan tanggungjawab sebagai isteri, ibu dan warga negara yang memberi manfaat. Kita memberi sumbangan kepada masyarakat untuk mencapai keredhaan Ilahi. Inilah nilai yang lebih murni.
Namun saya juga dapati ramai wanita yang tidak bekerja, menjadi surirumah (saya lebih suka memanggilnya sebagai Pengurus Rumahtangga) merasa rendah diri dan bosan dengan kerjaya ini. Duduk terperap di rumah dari pagi hingga ke malam. Dunianya hanyalah dapur, kain baju, anak-anak dan pelbagai kerja-kerja rutin rumahtangga, tertutup dari perkembangannya dunia luar. Benarkah begitu tertutupnya dunia rumahtangga mereka?
Saya teringat sebahagian isi ceramah Dr Robiah Kulup, seorang pakar motivasi yang membicarakan peranan pengurus rumahtangga. Profession suri rumah bukan sekadar nasi tambah, malahan wanita bergelar pengurus rumah tangga adalah kunci hidangan kebahagiaan utama untuk sesebuah keluarga. Peranan surirumah adalah satu tuah dan anugerah dari Allah. Wanita diberi kuasa untuk menguruskan rumah.Wanita boleh melihat anak membesar dengan jayanya di depan mata, boleh melihat dan mengurus kain baju yang kotor, boleh memandang langsir yang senget tidak terutus. Kelebihan wanita iaitu mampu mengenalpasti benda-benda yang tidak sempurna dirumah walau sekecil mana pun. Suami mencari nafkah kerana menjadi ketua keluarga, isteri pula menjadi pembantu dalam keluarga sebagai pengurus rumahtangga dan pendidik serta pembimbing anak anak.
Rumah adalah sekolah pertama dan ibubapa pula adalah guru pertama bagi anak-anak. Pendidikan tidak berkesan jika ibubapa tidak berperanan di rumah. Rumah adalah tempat berkumpulnya kasih sayang, perhubungan mesra, membina harga diri, kemahiran asas sosial, pemahaman agama dan kelancaran berkomunikasi.
Apabila ia pincang ia, maka pincanglah rumahtangga itu. Kerana itu, bosan atau memandang rendah tanggungjawab pengurus tangga adalah tidak tepat sama sekali. Malahan wanita yang berkesempatan menjadi surirumah tangga sepenuh masa, harus rasa bersyukur kerana diberi peranan sebesar itu. Bukan semua wanita mendapat peluang keemasan ini. Ramai wanita bekerja di luar sana yang mimpikan kesempatan tersebut tetapi kebanyakan mereka tidak mendapat peluang itu. Masing maisng mempunyai skrip yang berbeza.
Puan terasa bosan dan kesunyian mungkin kerana puan menutup minda puan dari dunia luar dan alam sekeliling. Puan seorang yang berpelajaran dan punya wawasan, mesti sentiasa peka, sentiasa meningkatkan diri dengan ilmu pengetahuan baru, sentiasa memperkasakan diri dengan pelbagai kemahiran hidup. Gabungkan diri puan dengan organisasi bukan kerajaan, badan-badan kebajikan dan dakwah. Badan-badan ini mempunyai program yang tersusun dan perlukan sukarelawan yang bijak seperti puan untuk menyumbang. Puan boleh menyumbang idea, wang ringgit dan berkongsi pengalaman. Cuba jinakkan diri dan hadir majlis-majlis ilmu yang selalu di adakan oleh badan badan ini samada di masjid atau dewan-dewan perhimpuan. Hubungi kawan-kawan lama, kongsikan hasrat dan cerita terbaru puan.
Apabila puan ingin berkerja semula puan akan risau, adakah anak puan diberi makan oleh pembantu rumah. Puan mula akan rasa bimbang anak keluar rumah sesuka hati, kerana puan tiada lagi sentiasa di rumah ada untuk mengawasinya. Perasaan cemas puan seperti dulu akan datang kembali, kadangkala menghadapi dilema, badan di pejabat tetapi hati di rumah.
Hargailah peranan besar itu, kekalkan status diri puan sebagai Ratu kepada suami dan anak-anak. Berikan nilai tambah Puan sebagai sukarewalan yang penuh bakti.
It’s not how much we give but how much love we put into giving." - Mother Teresa
(Bukanlah berapa banyak yang anda berikan, tetapi berapa banyak ‘cinta’ yang anda tuangkan dalamnya).
Balasan daripada kebaikan yang puan curahkan itu akan memayungi Puan di akhirat kelak. Maksud ayat-ayat dari Srah Ar Rahman boleh kita renungi bersama :
Bukankah ada balasan yang terbaik bagi amal yang terbaik baik pula? - Ayat 60
Nikmat Tuhan kamu yang manakah yang kamu dustakan? Ayat 61
Penduduk Syurga itu bersenang senang dengan berteleku di atas (bantal) cadar cadar yang hijau warnanya serta permaidani-permaidani yang sangat indah. Ayat -76
Nikmat tuhan kamu yang manakah yang kamu dustakan? Ayat 77
Maha sucilah nama Tuhanmu yang mempunyai kebesaran dan kemuliaan.Ayat 78.
Jawapan disediakan oleh Endok Sempo binti Mohd Tahir dengan kerjasama Wanita JIM. Permasalahan dan jawapan boleh di layari di www.bicarakalbu.blogspot.com
Labels: Hari ibu, Kasih sayang, keibubapaan, Kekeluargaan, kerjaya, Muhasabah, suami-isteri
Bicara Kalbu: Isteri perlu seimbangkan cita-cita, tanggungjawab
0 comments Posted by Mama at 2:08 AMBicara Kalbu: Isteri perlu seimbangkan cita-cita, tanggungjawab
SAYA seorang ibu dan isteri berusia 28 tahun yang bercita-cita melanjutkan pelajaran sehingga ke peringkat tertinggi serta menjawat jawatan terbaik sebelum saya berusia 40 tahun. Untuk pengetahuan puan, saya sudah berkahwin tiga tahun dan pernah berkata pada suami yang saya akan memastikan cita-cita saya tercapai walau apa pun terjadi. Suami saya tidak pernah menghalang niat saya. Selama perkahwinan, saya berkali-kali menunda proses untuk mencapai cita-cita. Sebagai contoh, saya menunda permohonan untuk melanjutkan pelajaran ke peringkat sarjana dan menolak tawaran bekerja ke jawatan yang lebih baik untuk menumpukan perhatian terhadap keluarga. Tetapi, sekarang saya berasakan sudah tiba masanya untuk saya memulakan langkah. Cuma sekarang saya berasa ragu-ragu. Adakah saya sekarang sedang mementingkan diri dan mengabaikan keluarga yang saya sayangi? Saya tidak mahu kebahagiaan yang dikecapi sekarang punah. Saya bimbang nanti ‘yang dikejar tak dapat, yang dikendong berciciran.’ Saya masih memegang kukuh impian saya untuk sentiasa menjadi seorang ibu, isteri serta muslimah bekerjaya yang cemerlang dunia dan akhirat. Saya amat perlukan nasihat puan.
Ibu muda was was
KLIA,Sepang
Jawapan
SAYA tidak nampak sebarang alasan munasabah untuk puan memendamkan cita-cita murni. Walaupun puan sudah nyatakan cita-cita puan. Ia adalah permulaan yang penting. Namun, puan perlu tentukan apakah matlamat dan arah tujuan kerjaya puan? Bagaimanakah keputusan puan nanti akan mengubah cara hidup keluarga puan?
Bekerja atau tidak bekerja bagi seorang wanita yang bergelar ibu dan isteri adalah satu persoalan yang perlu direnungkan dan difikirkan dengan mendalam. Tindakan seorang isteri, apatah lagi ibu akan memberi kesan besar dalam kehidupan keluarga termasuk suami dan anak.
Apakah puan perlu bekerja atau terus menjadi suri rumah tangga sepenuh masa adalah satu persoalan yang saya kira perlu diambil serius. Dalam keadaan ini ayat Allah di dalam Surat at Taubah ayat 71 yang bermaksud: “Orang yang beriman lelaki dan perempuan setengahnya menjadi penolong kepada yang lain. Mereka menyuruh dengan yang makruf dan melarang dari yang munkar”.
Bertitik tolak daripada ayat di atas, dapat dirumuskan bahawa manusia sama ada lelaki atau wanita perlu tolong-menolong dalam melaksanakan kebaikan dan mencegah kemungkaran dalam apa keadaan sekalipun sama ada di tempat kerja atau di rumah. Persoalan bagaimanakah tanggungjawab ini boleh diselaraskan dan diseimbangkan. Keseimbangan ini perlu dilaksanakan dengan baik dan berkesan ke arah pembentukan keluarga dan masyarakat yang sejahtera serta diredai Allah SWT. Jadi sama ada bekerja atau tidak puan perlu mempunyai alasan yang kukuh.
Secara objektifnya, jangan sekali-kali benarkan ‘perasaan’ mengemudi hidup kita. Biarkan rasional dan fahaman syariah Islam menolong puan membuat pertimbangan, kerana mengikut perasaan semata-mata kita tidak akan ke mana. Beberapa tip di bawah mungkin berguna untuk puan fikirkan dan bincangkan bersama suami.
Pertama, wajar dibezakan antara ‘ego’, ‘keazaman’ dan ‘pentingkan diri’. Puan lebih arif untuk menjawab persoalan ‘egokah saya?’, kerana apa yang terbuku dan terpendam di hati dan fikiran saudari tidak ada orang lain yang tahu. Adakah saudari seorang yang mementingkan diri sendiri? Daripada apa yang puan tulis, saya tidak nampak. Puan sudah beberapa kali menangguhkan hasrat itu. Ia menggambarkan puan bukan seorang yang mementingkan diri sendiri. Apa yang lebih penting, puan perlu sedar yang pilihan dalam hidup ini tidak semestinya ‘mutually exclusive’.
Memilih A tidak bererti kita tidak boleh melakukan B sama sekali. Dalam banyak
keadaan, kita boleh memilih A- DAN B+ umpamanya. Saudari boleh menjadi pelajar dan pada masa sama masih menjadi isteri dan ibu dan sebagainya. Namun, puan perlu sedar pula cabaran hebat yang bakal puan hadapi. Puan perlu ketahanan jiwa yang kental menangani perubahan ini.
Saudari sudah bincangkan dengan suami, suami tidak ada halangan. Mungkin kata-kata hikmat seorang filosof China boleh dipegang; If you wish to know the mind of a man, listen to his words (Jika kamu ingin mengetahui minda seorang lelaki, dengarlah apa yang diperkatakannya). Ia menunjukkan suami puan bersifat terbuka, memberikan sokongan penuh dan komunikasi puan suami isteri dalam keadaan yang harmonis. Inilah modal utama kejayaan puan pada masa akan datang.
Kedua, jangan takut tercicir yang dikendong atau tidak dapat yang dikejar.
Dengan sokongan suami dan ahli keluarga yang lain, saudari berpeluang cerah untuk berjaya. Biar sesal mencuba, daripada sesal mengharap tanpa usaha. Kuncinya, pastikan saudari mampu imbangi tugas, tanggungjawab dan cita-cita.
Atasi ketakutan dengan tindakan sebab takut itu dalam bahasa Inggeris ialah ‘fear’ - False Evidence Appear Real- (bukti yang palsu tetapi kelihatan seolah nyata dan benar). Ketakutan puan bukan dinding tebal, tetapi hanya halangan yang rapuh. Keberanian bukan kerana kita tidak takut. Keberanian sebenarnya ialah apabila kita mampu menguasai atau mengendali perasaan takut itu.
Jadi, bagaimana kita hendak mengatasinya? Puan perlu mulakan langkah daripada sekarang. Ketakutan yang selalu menghalang kita. Pada saat kita mula melangkah, kebimbangan akan mula lesap sedikit demi sedikit. Puan akan mula menumpukan perhatian puan kepada apa yang puan lakukan dan apa yang berlaku di sekeliling puan. Puan tidak lagi terjerat dengan ketakutan yang tidak menentu. Bila puan melakukan langkah pertama, langkah kedua menyusul dan seterusnya puan akan melakukannya satu persatu. Rasa takut itu ibarat kertas tisu yang sangat tipis. Satu langkah yang berani akan mengoyakkan perasaan cemas dan takut itu. Hayatilah maksud ayat al-Quran, surah Ar Ra?du ayat 11: “Sesungguhnya Allah tidak akan mengubah nasib sesuatu kaum itu sehingga mereka mengubah apa yang ada pada diri mereka.”
Ketiga, setiap keputusan yang puan buat ada implikasi, cabaran, keperluan dan pengorbanan. Soalnya, apakah puan dan suami sudah bersedia untuk korbankan sedikit sekarang, untuk mencapai sesuatu yang lebih besar pada masa depan? Ia sangat mencabar. Bagi seorang wanita yang mempunyai suami dan anak, melanjutkan pelajaran ke peringkat lebih tinggi memerlukan pengorbanan yang tidak sedikit.
Puan perlu belajar membahagikan masa melaksanakan tanggungjawab sebagai pelajar, isteri dan ibu. Masa yang ada untuk belajar dan membuat tugasan adalah antara jam 8.30 pagi hingga jam 5.00 petang, iaitu pada hari bekerja. Selain daripada waktu itu dan pada hujung minggu puan terpaksa melaksanakan tugas sebagai isteri dan ibu. Jika ada tugasan yang perlu dihantar atau ketika menghadapi peperiksaan, puan akan berjaga malam. Namun, peluang berjaga malam selalunya tidak lama, kerana terpaksa berhenti untuk menyusukan anak atau menyalinkan lampin yang basah. Keadaan persekitaran juga tidak banyak membantu wanita berkeluarga untuk melanjutkan pelajaran. Tanpa mengira siapapun anda; bujang, berkahwin, mengandung, mempunyai anak dan sebagainya, puan dianggap sama dan diharap untuk 'perform' seperti rakan lain.
Kejayaan tidak datang bergolek. Dari manakah kekuatan untuk berupaya melakukan semua itu? Berdoa kepada Allah SWT agar Allah memudahkan tugas puan. Puan perlu cekal dan meyakini bahawa “Allah tidak membebani seseorang melainkan sesuai dengan kesanggupannya”- maksud Al Quran, surah Al Baqarah ayat 286.
Apapun bentuk cabarannya, keputusan untuk meneruskan pelajaran (dan kemudian bekerja) adalah pilihan puan sendiri. Puan bulatkan tekad, tempuhi cabaran dan kesukaran itu, walau hanya dengan langkah demi langkah. Puan perlu lengkapkan diri dengan kesabaran kental. Usaha yang bersungguh-sungguh dan doa yang tidak pernah putus daripada Allah SWT.
Jawapan disediakan oleh Endok Sempo Tahir dan Amir Razelan dengan kerjasama Wanita JIM. Sebarang persoalan dan jawapan boleh dikongsi di www.bicarakalbu.blogspot.com
Labels: Harga diri, Ibu, Kasih sayang, Kekeluargaan, kerjaya, kesabaran, suami-isteri
? SAYA bekerja di sebuah kilang sejak 10 tahun lalu. Hidup saya bosan, jemu kerana membuat kerja yang sama bertahun-tahun. Saya anggap diri saya tidak ke mana kerana prestasi hari ke hari tidak menampakkan peningkatan diri.
Rutin pekerjaan membosankan saya. Apa yang patut saya lakukan untuk menghilangkan rasa jemu ini. Saya masih perlu bekerja untuk sesuap nasi pagi dan petang. Mohon nasihat untuk motivasi diri.
Mariani,
Kuala Lumpur
Selangor.
Saya ingin menuliskan sebuah sketsa kehidupan dua sahabat untuk dijadikan teladan.
Dua sahabat, Ali dan Adi, bekerja sebagai buruh bangunan. Sepuluh tahun berlalu, keduanya mengalami perubahan yang ketara dan jauh berbeza.
Kehidupan Ali berjaya dan kerjayanya meningkat, sedangkan Adi tidak mengalami perubahan yang bererti. Apabila keduanya ditanya mengenai kemajuan masing masing, keduanya mempunyai jawapan tersendiri.
Adi tidak mengalami kemajuan kerana sepanjang kerjayanya bekerja di syarikat itu, dia hanya memikirkan gaji yang akan diterimanya pada akhir bulan. Sementara Ali mempunyai rasa bangga ketika melakukan pekerjaan walaupun hanya sebagai buruh.
Sketsa ini menunjukkan bagaimana Adi bekerja tanpa visi masa depan, sementara Ali mempunyai visi yang jelas. Di sini ada dua jenis insan yang bekerja mencari rezeki.
Pertama, Adi yang hanya sibuk mengira gaji dan mengisi masa tidak menyedari bahawa dirinya mengerjakan hal yang rutin selain tidak mempunyai cita-cita meningkat diri.
Ali pula tergolong jenis insan yang sibuk mengejar tujuan dan mencapai matlamat hidup.
Mungkin apa yang sedang Mariani rasai di kala ini adalah sama dengan apa yang dialami Adi selepas 10 tahun bekerja. Untuk mengatasi hal ini, Mariani perlu mengubah cara berfikir.
Mulai hari ini, binalah satu visi yang kuat atau tujuan hidup yang jelas kerana apabila kita mempunyai tujuan hidup, setiap langkah adalah tahap meningkatkan prestasi dan melepaskan diri dari belenggu kebosanan hidup.
Apabila melakukan pekerjaan dengan tujuan seseorang itu akan membuat kerja penuh keseronokan, akhirnya kerja yang dilakukan menjadi sempurna dan menghasilkan kepuasan diri.
Pakar perancang kewangan di Amerika, Robert Kiyosaki, menulis dalam bukunya Rich Dad Poor Dad; “Apabila kita melakukan kerja yang kita paling suka, ia adalah satu percutian menyeronokkan, sebaliknya jika kita melakukan kerja yang kita tidak gemari ia adalah satu beban kerja yang membosankan dan tidak membawa kebahagiaan.”
Langkah yang perlu dilakukan ialah merancang dan merencana secara sistematik. Matlamat jangka panjang dibahagikan kepada beberapa perancangan untuk matlamat jangka pendek.
Pastikan matlamat serta tujuan dapat dicapai dan berpijak di bumi nyata. Selepas itu ambil langkah yang perlu dipatuhi.
Allah berfirman yang bermaksud: “Hai orang yang beriman! Bertakwalah kepada Allah. Hendaklah setiap orang memperhatikan apa yang telah dilakukannya sebagai persediaan untuk hari esok. Bertakwalah kepada Allah. Sungguh, Allah mengetahui apa yang kamu lakukan.” – (Surah Al Hasyr, ayat 18)
Jawapan disediakan Jawatakuasa Wanita JIM Pusat, Endok Sempo Mohd Tahir. Sebarang persoalan dan jawapan boleh layari di www.wanitajimceria.blogspot.com
Bicara Kalbu: Isteri dituntut sentiasa setia pada suami
PERKAHWINAN kami lebih 10 tahun. Namun, kini saya sangat tertekan kerana sejak tiga tahun kebelakangan ini terpaksa bekerja semula. Saya menanggung keluarga dan menampung kebanyakan perbelanjaan rumah tangga dan persekolahan anak.
Saya ingin melepaskan diri daripada bebanan yang tidak seharusnya ditanggung oleh seorang isteri. Saya sejak dulu berpandangan bahawa lelaki adalah pelindung wanita dan wajib memberikan nafkah serta saraan kepada isteri dan anak. Justeru, saya berhenti kerja sebaik mempunyai anak walaupun mempunyai kelulusan tinggi.
Kemelut ini terjadi apabila perniagaan suami merudum dan rugi teruk. Dia kelihatan buntu dan tertekan apabila saya menimbulkan perkara ini dia hanya berkata: �Saya serahkan kepada awak untuk membuat keputusan, saya pasrah terhadap ketentuan Ilahi.� Apa yang perlu saya lakukan.
MASRAH,
Kuala Lumpur.
Kata kunci kepada permasalahan puan ialah �kesetiaan�. Erti kesetiaan bukan hanya boleh diperkatakan, tetapi perlu dibuktikan. Kesetiaan hanya diuji pada waktu kesengsaraan. Zaman kemewahan tidak menjanjikan kesetiaan, apalagi kita hidup dalam lilitan fahaman �kebendaan� yang amat menonjol kini.
Puan sudah berasa hidup senang selama 70 peratus kehidupan bersama suami. Puan hanya baru berasa susah selama tiga daripada 10 tahun itu. Bukankah ini masa terbaik untuk puan membalas budi baik suami dan membuktikan kesetiaan kepada suami?
Mungkin inilah waktu terbaik untuk menggilap potensi �wanita perkasa� dalam membuat keputusan dalam pengurusan keluarga, sekali gus memperkasakan diri menjadi seorang isteri yang produktif pada saat keluarga berada di ambang kemelesetan ekonomi.
Mungkin anak akan lebih menghormati puan kerana ibunya mampu �menolong ayahnya� dalam usaha menyelamatkan keluarga mereka daripada terjerumus ke dalam kemiskinan.
Puan berasa tertekan, suami puan mungkin lebih terseksa. Egonya tercabar kerana selama ini dialah yang menyara dan menjadi �hero� keluarga. Disangka panas hingga ke petang kiranya hujan di tengah hari. Berat mata puan memandang, berat lagi bahu suami memikul beban malu dan terguris egonya. Inilah takdir namanya. Satu rukun iman yang menguji akidah kita.
Adakah puan mendoakan untuk suami setiap kali selepas solat waktu? Adakah puan menghadiahkan surah al-Fatihah buat suami setiap kali teringatkan kesusahan yang ditanggungnya.
Kita perlu menyedari bahawa dunia perniagaan ini ada zaman turun naiknya. Namun, kesengsaraan puan bersifat sementara. Apabila perniagaan suami bertambah baik, puan boleh kembali kedudukan asal jika itulah yang puan kehendaki.
Kesetiaan memerlukan pengorbanan. Kesetiaan menuntut puan untuk bersama suami pada waktu senang dan susah sama ada puan suka atau tidak. Ini mengingatkan saya kepada satu kisah mogok isteri Rasulullah SAW yang menjadi asbabun nuzul (sebab turunnya ayat) kepada firman Allah bermaksud:
�Wahai Nabi, katakanlah kepada isteri-isterimu: Sekiranya kamu semua mahukan kehidupan dunia dan perhiasannya, maka marilah supaya aku berikan kepada kamu mut'ah, dan aku lepaskan kamu dengan cara yang sebaik-baiknya
�Dan sekiranya kamu mahukan keredaan Allah dan rasul-Nya serta kemewahan di negeri akhirat, maka sesungguhnya Allah menyediakan bagi orang yang berbuat baik antara kamu pahala yang besar.� (Surah al-Ahzab, ayat 28 dan 29)
Selepas Rasulullah SAW membacakan ayat ini kepada Saidatina Aisyah, Baginda bertanya: �Hai Aisyah, aku hendak mengajukan soalan ini kepadamu, tetapi janganlah tergesa-gesa menjawabnya sebelum berunding dengan kedua-dua ibu bapamu.� Lantas Aisyah menjawab: �Ya Rasulullah, kenapa aku harus berunding dengan kedua-dua ibu bapaku mengenai diri tuan? Tidak sekali kali, Aku memilih keredaan Allah dan rasul-Nya.�
Mungkin puan boleh mengambil semangat Saidatina Aisyah ini, jika pun tidak semua supaya dapat menghayati firman Allah dalam surah Ali Imran , ayat 103 bermaksud:
�Berpegang teguhlah kamu dengan tali Allah dan janganlah bercerai berai...�
Jawapan disediakan oleh Ir Hjh Endok Sempo bt Hj Mohd Tahir
Labels: Doa, Harga diri, Kasih sayang, Kekeluargaan, kesabaran, suami-isteri
Bicara Kalbu: Taubat diwajibkan ke atas insan mukallaf
SAYA keliru mengenai keperluan untuk bertaubat ketika melakukan dosa kecil. Saya ingin tahu adakah wajib kita bertaubat jika melakukan dosa kecil.
PELAJAR INGIN TAHU,
Kuala Lumpur.
PERTAMA kita perlu mengenal pasti perbezaan di antara dosa kecil dan besar. Dosa besar wajib bertaubat nasuha manakala bertaubat untuk dosa kecil masih ada perbezaan pendapat di kalangan ulama. Namun untuk melengkapkan akhlak yang mulia dan bersifat mahmudah, kita seharusnya sentiasa bertaubat dan beristighfar serta menghentikan perkara yang mendatangkan dosa kecil.
Ulama hadis, Ibnu Rajab al Hambali dalam kitabnya Jaami'ul 'uluum wal hikam melontarkan permasalahan mengenai dosa kecil. Beliau berpendapat dosa kecil terhapus secara automatik sebaik seseorang melakukan taubat atas dosa besar.
Pendapat ini sesuai dengan firman Allah bermaksud : “Jika kamu menjauhi dosa-dosa besar di antara dosa-dosa yang dilarang kamu mengerjakannya, nescaya Kami hapuskan kesalahan-kesalahanmu (dosa-dosamu yang kecil) dan Kami masukkan kamu ke dalam tempat yang mulia (syurga).” (Surah an-Nisa, ayat 31)
Namun, ada ulama berbeza pendapat, ada antara mereka yang mewajibkan taubat secara khusus terhadap sebarang dosa kecil. Pendapat ini berpandukan firman Allah yang memerintahkan untuk bertaubat selepas menyebut dosa kecil dan besar. Allah berfirman bermaksud: “Katakanlah kepada orang lelaki yang beriman: Hendaklah mereka menahan pandangannya, dan memelihara kemaluannya; yang demikian itu adalah lebih suci bagi mereka sesungguhnya Allah Maha mengetahui apa yang mereka perbuat. Katakanlah kepada wanita yang beriman: hendaklah mereka menahan pandangannya dan memelihara kemaluannya dan janganlah mereka menampakkan perhiasannya kecuali yang (biasa) nampak dari padanya. Dan hendaklah mereka menutupkan kain kudung ke dadanya dan janganlah menampakkan perhiasannya kecuali kepada suami mereka, atau ayah mereka, atau ayah suami mereka, atau putera-putera mereka, atau putera-putera suami mereka, atau saudara-saudara lelaki mereka, atau putera-putera saudara lelaki mereka, atau putera-putera saudara perempuan mereka, atau wanita-wanita Islam, atau budak-budak yang mereka miliki, atau pelayan-pelayan lelaki yang tidak memiliki keinginan (terhadap wanita) atau anak-anak yang belum mengerti mengenai aurat wanita. Dan janganlah mereka memukulkan kakinya supaya diketahui perhiasan yagn mereka sembunyikan. Dan bertaubatlah kamu sekalian kepada Allah, hai orang yang beriman supaya kamu beruntung." – (Surah an-Nur, ayat 30-31)
Allah memerintahkan untuk bertaubat daripada dosa kecil secara khusus dalam firman-Nya bermaksud: “Hai orang yang beriman, janganlah suatu kaum mengolok-olokkan kaum yang lain (kerana) boleh jadi mereka (yang diolok-olokkan) lebih baik daripada mereka (yang mengolok-olokkan) dan jangan pula wanita-wanita (mengolok-mengolokkan) wanita-wanita yang lain (kerana) boleh jadi wanita-wanita (yang diperolok-olokkan) lebih baik daripada wanita (yang mengolok-olokkan) dan janganlah kamu mencela dirimu sendiri dan janganlah kamu panggil memanggil dengan gelar-gelar yang buruk. Seburuk-buruk panggilan ialah (panggilan) yang buruk sesudah iman dan barang siapa yang tidak taubat, maka mereka itulah orang yang zalim." – (Surah al Hujurat, ayat: 11)
Namun, kaum Mu'tazilah pula tidak mewajibkan taubat daripada dosa kecil.
Ada juga ulama mutakhir yang berpendapat mengenai taubat dosa kecil bahwa – wajib mengerjakan salah satu daripada dua perkara: Pertama bertaubat daripadanya atau melakukan beberapa perbuatan dan amal kebajikan yang baik dan ia dapat menghapuskan dosa itu.
Ibnu 'Athiah menyebutkan dua pendapat ulama dalam penafsirannya terhadap penghapusan dosa kecil dengan melakukan ibadat yang wajib dan menjauhkan diri daripada dosa besar.
Pertama, dia meriwayatkan daripada beberapa fuqaha dan ahli hadis bahawa dengan melakukan kebajikan dan amal salih secara automatik dosa dan kesalahannya terhapus, sesuai pengertian ayat al-Quran dan hadis.
Kedua, dia meriwayatkannya daripada ulama usul fiqh bahawa dosa kecil tidak pasti terhapus, namun dengan ’husnu zan’ yang kuat terhadap rahmat Allah dan harapan yang tinggi , diharapkan dosa itu dihapuskan, dengan kehendak Allah.
Jika dosa kecil itu ‘pasti’ dihapuskan, nescaya perbuatan taubat akan menjadi ’harus’ dan ia mengundang akibat buruk yang akan merosakkan syariah.
Ulama kontemporari, Dr Yusof Qardhawi pula berpendapat bahawa dosa kecil itu tidak ’pasti’ dihapuskan. Ia kerana hadis yang mengatakan dosa kecil terhapus dengan melakukan amal salih terikat dengan ’syarat’ memperbaiki amal.
Contohnya, dalam bab wuduk dan solat, kedua-dua perbuatan itu menghapuskan dosa kecil. Jika kita berdiam diri tanpa menyesali perbuatan, tidak bertaubat dan tidak melakukan kebaikan, di sini tidak ada amal yang baik membolehkan terhapusnya dosa.
Atas dasar ’ikhtilaf’ (perbezaaan pendapat) yang disebutkan oleh Ibnu 'Athiah ini, terjadi ikhtilaf dalam masalah kewajipan taubat dari dosa kecil." (Jami' al Ulum wa al Hikam: 1/446, 447. Cetakan Muassasah Risalah, Beirut.)
Namun, sebenarnya taubat diperintahkan kepada seluruh orang mukallaf. Seluruh kaum mukmin diperintahkan untuk bertaubat. Seperti disebutkan dalam ayat al-Quran: "Dan bertaubatlah kamu sekalian kepada Allah, hai orang yang beriman supaya kamu beruntung."
Taubat itu mesti dibuat, ada orang yang bertaubat daripada dosa besar, perbuatan bidaah, dosa kecil dan perbuatan yang syubhat.
Ada pula orang yang taubat daripada kelalaian hatinya. Juga ada bertaubat daripada makam yang sedia ada untuk menaikkan tarafnya ke makam yang lebih tinggi. Ini yang kita namakan sebagai taubat Nabi Muhammad SAW seperti sabda Rasulullah SAW bermaksud:
"Wahai manusia, bertaubatlah kepada Allah kerana sesungguhnya aku bertaubat kepada Allah dalam sehari sebanyak seratus kali."
Jawapan disediakan Endok Sempo Mohd Tahir. Pandangan dan persoalan layari www.bicarakalbu.blogspot.com
Labels: Jihad, Kasih sayang, Muhasabah, taubat
Bicara Kalbu: Solat tahajud dapat kurangkan kenaikan harga minyak
0 comments Posted by Mama at 1:34 AMBicara Kalbu: Solat tahajud dapat kurangkan kenaikan harga minyak
SEJAK kenaikan harga petrol sebanyak 30 sen, hampir semua barang di pasaran termasuk tempat meletak kereta yang tidak membabitkan petrol turut naik hingga memberi kesan kepada bajet keluarga. Suasana kehidupan sekeluarga semakin muram dan tertekan. Minta pandangan bagaimana hendak menghadapi dugaan ini agar suasana kembali ceria dan ekonomi keluarga tidak mengalami defisit?
Ibu tertekan,
Kuala Lumpur
Harga barang semua naik adalah keluhan sebahagian besar rakyat yang kita dengar apabila kerajaan mengumumkan kenaikan harga petrol.
Oleh itu lebih baik kita cuba menyelesaikan secara praktikal untuk menghadapi kemelut harga barang yang meningkat dan menguatkan mental serta spiritual agar lebih tenang berhadapan masalah bajet.
Dengan kadar pendapatan masih di aras lama, pilihan yang ada hanyalah mengubah ‘gaya’ hidup dan mengurangkan perbelanjaan.
Di sini ada beberapa langkah praktikal yang boleh dibincangkan bersama ahli keluarga agar impak dapat ditangani sebijak mungkin.
Pertama ialah memperkayakan rohani dan menguatkan spiritual dengan melakukan solat tahajud untuk menenangkan hati.
Allah SWT berfirman bermaksud, “Dan bangunlah pada sebahagian dari waktu malam serta kerjakanlah sembahyang tahajud padanya, sebagai sembahyang tambahan bagimu; semoga Tuhanmu membangkit dan menempatkan kamu pada hari akhirat di tempat yang terpuji.” (Surah Al-Israa', ayat 79)
Solat tahajud dilakukan di tengah malam di kala kebanyakan manusia terlena dalam tidur yang nyenyak akan mendekatkan diri kepada Allah SWT.
Solat tahajud dikerjakan dengan ikhlas mampu mengurangi beban kejiwaan yang sedang menyelimuti seseorang.
Allah SWT berfirman bermaksud, “Wahai orang yang berselimut. Bangunlah sembahyang Tahajud pada waktu malam, selain dari sedikit masa (yang tak dapat tidak untuk berehat).” (Surah Al-Muzzammil, ayat 1-2)
Kata ‘berselimut’ dalam ayat di atas secara kontekstual dapat diertikan dengan orang yang sedang dirundung masalah, kegelisahan, kecemasan, kekhuatiran, atau ketakutan kerana menghadapi berbagai permasalahan yang menimpanya.
Ayat dari surah Muzammail diturunkan setelah Rasulullah SAW mendapat ejekan dan ancaman dari kaum Quraisy menyebabkan baginda tertekan dengan suasana itu.
Ketenangan dan ketenteraman yang diperoleh setelah melakukan solat Tahajud memiliki nilai spiritual yang sangat tinggi kerana dalam solat itu terdapat dimensi zikrullah (mengingat Allah).
Ini sebagaimana firman Allah SWT bermaksud, “(Iaitu) orang-orang yang beriman dan tenang tenteram hati mereka dengan ‘zikrullah’. Ketahuilah dengan ‘zikrullah’ itu, tenang tenteramlah hati manusia.” (Surah Ar-Ra'd, ayat 28)
Kedua, banyakkan bersedekah kepada anak yatim, golongan miskin dan kalangan yang memerlukan kerana semakin banyak kita bersedekah semakin membersihkan harta, hati dan nafsu kita semakin jinak kepada takwa.
Apabila kita bersedekah kepada yang memerlukan, kita membina hubungan ukhuwah sekali gus mereka yang miskin ini mendoakan untuk kita agar lebih makmur, sekurang kurangnya makmur jiwa berhati besar.
Ketiga, banyakkan berpuasa seperti orang soleh setiap Isnin dan Khamis atau tiga kali sebulan. Ataupun mungkin masa ini sebaik-baik kita mula puasa ala Nabi Daud, satu hari berpuasa dan satu hari berbuka.
Umar bin Khattab mengatakan, “Hendaklah kalian waspada pada perut yang penuh makanan kerana sesungguhnya perut adalah hal yang memberatkan di dalam kehidupan ini dan adalah kebusukan setengah mati.”
Abdullah Al Qusyairi, seorang sufi mengatakan, “Hikmah dan ilmu telah diletakkan dalam rasa lapar, sementara maksiat dan kebodohan telah diletakkan dalam kekenyangan.”
Di antara manfaat lapar, menjernihkan hati, menyalakan kebijaksanaan dan menajamkan penglihatan hati. Abu Yazid Al Busthomi, seorang sufi berkata, “Lapar adalah awan maka apabila seorang hamba lapar, keluarlah hujan hikmah dari hatinya.”
Antara manfaat lapar yang paling utama ialah mematahkan keinginan nafsu terhadap semua bentuk bermewah-mewah dan maksiat serta menguasai nafsu yang selalu mengajak kepada kejahatan.
Aisyah mengatakan, “Bid'ah yang pertama kali terjadi sepeninggalan Rasulullah SAW adalah kenyang, sesungguhnya manusia ketika kenyang perutnya menjadi liarlah nafsunya dalam menghadapi dunia ini.”
Jika nafsu sudah terkekang dan keinginan nafsu untuk hidup bermewah berlebihan telah dikawal, manusia tidak lagi berusaha mengumpul harta secara haram dan berbuat kemaksiatan.
Hal ini akan melahirkan kesederhanaan dalam hidup, memungkinkan seseorang untuk mengutamakan orang lain dan bersedekah dengan makanan yang lebih kepada anak yatim serta orang miskin.
Seterusnya, kenal pasti dan klasifikasi semula keperluan serta keinginan. Umpamanya mengucapkan selamat tinggal kepada rancangan TV yang berbayar seperti Astro atau kurangkan makan di luar.
Amalkan masak dan makan di rumah bagi mengeratkan lagi hubungan seisi keluarga, bawa bekal ke pejabat atau ke sekolah, kaji penggunaan telefon di rumah dan telefon bimbit sekeluarga.
Beli hanya bila perlu, bukan bila mahu. Nafsu tanpa sempadan semua nampak berkilau tetapi jika kita tahu barang yang perlu dibeli maka kita akan mengurangkan pembaziran.
Jika sebelum ini kita kerap menonton wayang, berhibur, maka mulai sekarang duduklah saja berhibur di rumah, menonton televisyen atau bermain dengan anak-anak.
Sekiranya anda merokok, fikirkan secara serius, inilah masanya untuk berhenti, begitu juga jika kerap membeli pakaian baru hampir setiap bulan, maka mulai sekarang belilah pakaian baru setahun sekali semasa hari raya saja.
Langkah di atas mungkin nampak kecil, tetapi beberapa langkah kecil yang diamalkan berterusan akan memberi impak besar.
Jawapan oleh Endok Sempo dan Amir Razelan dari JIM dan boleh dihubungi di wanitajim@jim.org.my
Labels: Jatidiri, Jihad, Kekeluargaan, kesabaran, Musibah sakit, tahajjud
Bicara Kalbu: Banyak zikir, baca al-Quran cara ubati sihir
AKHIR-AKHIR ini, saya selalu mengalami perkara pelik dan ganjil dalam kehidupan. Kata orang berkaitan masalah gangguan makhluk halus. Restoran saya beroperasi lebih enam bulan, malangnya sejak beberapa minggu lalu tiada pelanggan yang datang. Ada pelanggan memulangkan nasi campur yang dibeli dari restoran saya kerana katanya ia penuh dengan serpihan kaca halus. Benarkah makhluk halus boleh memudaratkan kehidupan kita. Bagaimana menghadapi permasalahan ini?
Ingin Tahu,
Rawang, Selangor.
Jawapan
SIHIR ada disebut dalam al-Quran yang wujud sejak zaman Nabi Musa. Ia juga ada diriwayatkan pada zaman Nabi Muhammad SAW.
Adakah Nabi pernah terkena sihir?
Persoalan ini menjadi pertikaian ulama Islam. Dalam hal ini, kita merujuk kepada hadis sahih riwayat Bukhari dan Muslim bermaksud: “Daripada Aisyah: Nabi pernah disihirkan sehingga Baginda menyangka telah mendatangi mereka (isteri-isteri), sedangkan ia tidak mendatangi mereka." (Hadis riwayat Bukhari dan Muslim)
Ulama yang menafikan hal ini memberi alasan bahawa ia sesuatu yang mengaibkan martabat Rasulullah. Tetapi, menurut Qadhi Iyadh: “(Kejadian sihir) ini tidak mencacatkan kebenaran Baginda kerana telah dipersetujui bahawa Nabi dipelihara dari sudut itu. Cuma yang berlaku di bidang yang harus berlaku di atasnya, di bidang duniawi semata-mata. “Qadhi Iyadh menegaskan: “Dan sihir adalah satu daripada penyakit."
Dengan ini jelas bahawa tidak mustahil bagi seseorang itu ditimpa penyakit yang disebabkan oleh sihir, tetapi hendaklah diingat bahawa ia berlaku atas izin Allah.
Sihir adalah sejenis ilmu yang dikuasai oleh golongan yang bersekongkol dengan jin dan syaitan.
Tanda terkena sihir antaranya:
# Seseorang yang baru berkahwin tidak mempunyai nafsu terhadap isterinya;
# Seseorang itu berasa kadang kala terlalu panas dan sejuk sehingga sanggup minum air mendidih;
# Suami dan isteri yang tiba-tiba berasa tidak aman, benci-membenci antara satu dengan lain walaupun sebelumnya mereka sangat berkasih-sayang;
# Kebiasaannya gejala penyakit yang disebabkan sihir lebih menonjol sewaktu senja; dan
# Banyak daripada penyakit baik fizikal atau kejiwaan tidak dapat disahkan puncanya oleh doktor pakar.
Cara menghadapi sihir.
Orang yang beriman dengan Allah mempunyai banyak kelebihan di dalam menghadapi sihir.
Pertama, mereka mempunyai tempat pergantungan dan berlindung yang Maha Kuat lagi Maha Perkasa iaitu Allah. Imam Ibnu Qaiyim berkata: “Ubat yang paling bermanfaat untuk penyakit sihir ialah Al Adhihiyah Al ilahiyah (penawar ketuhanan) iaitu dengan banyak berzikir, membaca al-Quran dan berdoa.”
Seseorang yang beriman menganggap bahawa sihir yang menimpanya sebagai satu ujian daripada Allah. Sekiranya, melalui ujian ini dengan cara yang betul seperti yang dikehendaki Allah, maka insya-Allah bertambahlah imannya. Kaifiat penghadang sihir ini seperti yang diamalkan oleh Rasulullah boleh didapati dari buku bertajuk Tibb Nabawi, perubatan cara Rasulullah.
Orang beriman hendaklah meyakini bahawa kuasa Allah mengatasi segala-galanya baik yang ada di langit mahupun di bumi dan bahawa interaksi dengan ayat Allah (al-Quran) itu sebesar-besar penawar.
Oleh itu, mereka tidak perlu berubat dengan cara yang memudaratkan akidah seseorang seperti berlindung dengan jin dan syaitan melalui perantaraan ‘bomoh’ atau ‘dukun’ dan jin.
Bagaimanapun, kita boleh berjumpa dan meminta nasihat daripada pakar atau intelektual Islam yang dipercayai dan tidak mencampurkan yang hak dengan yang batil dalam menangani masalah ini.
Dijawab oleh Endok Sempo Mohd Tahir. Persoalan dan jawapan
Labels: Doa, gangguan makhluk halus, zikir
Ketenangan hati boleh atasi keresahan jiwa
SAYA adalah seorang usahawan muda yang baru beberapa tahun menjalankan perniagaan membaiki kenderaan. Akhir-akhir ini, perniagaan merosot, rakan kongsi menarik diri dan pelanggan semakin kurang. Pihak bank mula hendak menyaman kerana bayaran pinjaman tertunggak.
Saya semakin risau kerana jika perniagaan terus begini, lama-kelamaan akan tutup kedai. Bank akan menyeret saya ke mahkamah. Bagaimana, isteri dan anak hendak hidup. Bagaimanakah saya ingin hilangkan kemelut jiwa ini?
USAHAWAN MUDA,
Kuala Lumpur.
Memang benar apa yang saudara katakan. Ini adalah kemelut jiwa yang terhasil dari hati yang resah dan kurang yakin terhadap masa depan. Adat berniaga memang begitu. Ada masa lebat dan ada masa kering.
Ketika lebat, kita berjimat, sewaktu kering, kita bersabar. Saat bersabar ini memerlukan kekentalan jiwa dan hati yang pasrah.
Saudara yang berniaga sudah memahami selok belok perniagaan. Saudara lebih arif mengenai tips dan taktik dalam dunia perniagaan. Saya berpendapat apa yang saudara perlukan ialah tips untuk hati.
Segala keresahan dan kebimbangan berpunca dari hati. Kerana setiap perbuatan bermula dari hati. Begitu juga setiap kejayaan dalam apa bidang berpangkal dari hati. Jagalah hati agar tidak sekali kali mendahului sesuatu yang belum berlaku.
Firman Allah bermaksud : “Telah hampir datangnya janji yang telah ditetapkan oleh Allah, maka janganlah kamu meminta disegerakan.” (Surah an-Nahl, ayat 1)
Hari esok adalah adalah sesuatu yang belum tentu dan nyata. Mengapa kita mesti menyibukkan diri dengan hari esok, mencemaskan dengan kesempitan dan kemungkinan negatif yang bakal berlaku. Begitu juga memikirkan perkara yang akan menimpa, meramalkan bencana yang bakal mencelakakan?
Bukankah kita juga tidak tahu sama ada akan bertemu dengannya atau tidak? Kita tidak tahu adakah kita akan bertemu dengan kesusahan atau kesenangan pada esok?
Hakikatnya esok masih di alam ghaib dan belum berpijak di alam nyata. Tidak sepatutnya kita menyeberangi jambatan sebelum benar-benar berada di atasnya. Kita tidak pasti sama ada akan sampai ke jambatan itu atau tidak? Mungkin juga kita akan berhenti sebelum sampai di jambatan.
Mungkin juga jambatan itu hanyut dibawa arus sebelum kita sampai ke situ. Boleh jadi juga apabila kita sampai di jambatan itu dan boleh pula menyeberanginya!
Memikirkan masa depan dengan mengagak-agak dan membuka alam ghaib, kemudian kita hanyut dalam kecemasan yang hanya sangkaan adalah sesuatu yang tidak baik untuk hati dan keyakinan kita. Ini hanya angan-angan dan sangka buruk.
Itulah lumrah kehidupan. Ramai insan yang termakan dengan ramalan mengenai kelaparan, kemiskinan, wabak penyakit dan krisis ekonomi yang kononnya akan menimpa mereka. Pada hal, semua itu adalah sebahagian daripada hasutan was-was syaitan yang akhirnya menyesatkan manusia.
Firman-Nya bermaksud: “Syaitan itu menjanjikan (menakuttkan) kamu dengan dengan kemiskinan dan kepapaan (jika kamu bersedekah) dan ia menyuruh kamu melakukan perbuatan keji (bersifat kedekut), sedangkan Allah menjanjikan kamu (dengan keampunan daripadanya serta kelebihan kurnian-Nya.” (Surah al-Baqarah, ayat 268)
Janganlah memaksa esok untuk hari ini. Sedarlah bahawa usia, nasib kita pada esok berada di tangan Allah yang Maha Berkuasa.
Gunakan hari ini sepenuhnya dan sempurnakan kerja hari ini dengan kesabaran dan kesyukuran. Hindarilah angan-angan dan prasangka yang kosong.
Sempena Ramadan, marilah kita berdoa, beristighfar selepas menghitung dosa masa lalu. Munajat kepada Allah agar Dia menunjukkan kita jalan penyelesaian terbaik.
PERSOALAN dijawab oleh Endok Sempo Mohd Tahir dan sebarang masalah dan pandangan layari www.wanitajimceria.blogspot.com
Labels: Doa, kesabaran, Muhasabah, Musibah sakit
Wednesday, June 15, 2005
Rahsia Jadi Ayah Yang Berkesan
Rahsia Jadi Ayah Yang BerkesanOleh Endok Sempo Mohd Tahir
BEBERAPA kajian menunjukkan bahawa kehadiran ayah menyumbang terhadap kejayaan anak dalam setiap fasa kehidupan mereka. Kajian itu disimpulkan dalam Father Facts, Edisi Ketiga (1998), antaranya:
Bayi yang mempunyai ayah yang selalu bersama-sama anaknya di lapan minggu pertama, lebih berkemampuan menangani tekanan di alam persekolahan.
Anak yang rapat dengan ayahnya pada zaman kanak-kanak menjadi ejen ‘penyelesai masalah’ yang baik apabila dewasa berbanding kanak-kanak yang tidak dipedulikan oleh ayahnya.
Apabila anak lelaki dan perempuan dididik dan dibelai oleh ayahnya serta sentiasa di sampingnya, sikap mereka apabila dewasa menjadi lebih berinisiatif dan mampu mengawal diri.Kanak-kanak yang mempunyai hubungan rapat dengan ayahnya ketika zaman tumbesarannya akan menjadi seorang remaja dan orang dewasa yang seimbang.
l Anak yang tidak berbapa.
Kajian menunjukkan kekosongan daripada belaian kasih ayah mempunyai hubungan rapat dengan pelbagai permasalahan gejala sosial dan prestasi pembelajaran anak-anak.
Anak yang tidak tinggal dengan ayahnya menunjukkan gejala seperti di bawah:
- Lima kali lebih teruk prestasi pembelajaran.
- Tiga kali lebih ramai yang mengandung tanpa nikah.
- Lebih 50 peratus kemungkinan keciciran dalam pembelajaran, terbabit dengan gangsterism, penyalahgunaan dadah dan jenayah juvana.(Sumber: Pusat Kebapaan Kebangsaan)
Tujuh rahsia menjadi ayah yang berkesan.
Ramai lelaki terbilang berjaya dan berbangga kerana menjadi seorang ayah cemerlang dan berkesan. Menurut kajian Dr Ken Canfield, pengasas dan juga Presiden Pusat Kebapaan Kebangsaan dalam penyelidikannya mengenai ‘kebapaan’ ada tujuh rahsia menjadi ayah yang berkesan:
-l Bapa yang komited dan bertanggungjawab.
Jalankan tugas bapa dengan penuh dedikasi dan bertanggungjawab. Kenal pasti apakah tugas anda sebagai bapa dalam rumah tangga. Tunjukkan dan beritahu anak bahawa anda juga ada tugas dalam rumah tangga, disamping ibu mereka. Anda bukan hanya bertugas di luar. Sekali-sekala berikan mereka peluang untuk mengutarakan pandangan atau menegur anda jika terlupa atau terlalai melakukan tugas anda di rumah. Selalu memeriksa dan memantau apakah anda telah melaksanakan tugas di rumah. Bayangkan ‘hadiah’ atau ‘anugerah’ yang bakal didapati (sama ada di dunia atau akhirat) jika anda menjadi ayah cemerlang!
l Kenali anak anda.
Ambil masa untuk mengenali secara khusus keunikan dan kualiti anak anda. Libatkan diri dalam dunia mereka, hadiah yang mereka sukai, ketakutan, kekecewaan malah impian dan cita-cita mereka. Cuba ingatkan semua nama kawan mereka serta pembawaan masing masing.Kenal pasti apa yang selalu mengecewakan, ditakuti, dibenci, paling memalukan serta yang boleh memberi motivasi dan perangsang kepada merekal Istiqamah (tetap pendirian) .
Apabila anak tahu apa yang bapa mahukan, mereka akan lebih berasa yakin serta boleh menyesuaikannya dengan kehendak anda. Jadi, istiqamah, tetap pendirian serta konsisten.
Ada enam tempat anda perlu konsisten iaitu hadkan perubahan mood (jangan terlalu mengikuti perasaan); sentiasa ada di rumah (selalu menghadirkan diri dalam acara kekeluargaan); kotakan apa yang dikata, bukan cakap tidak serupa bikin; sentiasa menjaga moral dan adab sopan; mempunyai atur cara kehidupan teratur serta ada hobi dan kegemaran baik yang boleh dilihat dan diikuti.
l Melindungi, menyara dan mendoakan.
Sediakan suasana dan rasa selamat dalam rumah dengan memberikan respon yang positif setiap kali berlaku krisis dan permasalahan dalam rumah. Paling penting anda memberikan saraan yang cukup kepada mereka. Bapa tidak boleh menghalang berlakunya krisis, tetapi tindakan anda ketika berlaku krisis dan mengembalikan suasana normal, sebenarnya ‘mengajar’ anak menangani krisis. Jangan lupa doakan untuk anak selepas solat.
l Mencintai ibu mereka.
Zahirkan cinta anda kepada isteri anda di depan anak untuk menunjukkan satu hubungan suami isteri yang intim dan bermakna. Jadikan diri anda sebagai anggota dalam pasukan ‘keibubapaan’, bukan hanya ibu. Inilah langkah dan hadiah terbaik untuk anak. Dalam jangka panjang, anak mendapat manfaat yang sangat bernilai daripada hubungan ibu bapa yang hormat menghormati, bekerjasama dan berkasih sayang.
l Menjadi pendengar yang baik.
Sedarlah bahawa anak mudah tersesat atau terpesong dalam arus dunia. Dengar apa yang mereka katakan dan apa yang tidak terluahkan. Tunjukkan kepada mereka bahwa mereka ‘berhak’ untuk didengari dan diberi perhatian.
l Jadikan diri anda ‘pemimpin’ kerohanian.
Beri peluang anak anda mengenali Allah dengan menunjukkan ‘keimanan’ dan amal harian anda yang selari dengan tuntutan agama. Bersolat bersama-sama dan jadi imam dalam solat lima waktu di rumah. Bawalah mereka bersama-sama menunaikan solat berjemaah di masjid. Selalu bercerita mengenai makhluk yang dicintai Allah di bumi dan langit.
Selamat Hari Bapa!
Labels: hari bapa, Kasih sayang, keibubapaan, Perkahwinan
Wednesday, June 01, 2005
Perkahwinan Berasaskan Ibadah Jamin Kebahagiaan
Perkahwinan Berasaskan Ibadah Jamin KebahagiaanOleh Endok Sempo Mohd Tahir
HUJUNG minggu lalu, ketika meraikan perkahwinan anak saudara di Johor Bahru, Johor kedengaran pelbagai ucapan selamat daripada para jemputan. Wajah mempelai berseri-seri kerana bahagia membina mahligai impian. Rata-rata ucapan yang diberikan seperti di bawah:
“Selamat pengantin baru semoga berbahagia sehingga ke anak cucu.”“Selamat berbahagia semoga kekal di dunia dan akhirat.““Selamat pengantin baru, semoga berbahagia.”
Ada yang hadir menyampuk dan bergurau apabila mendengar ucapan tadi dengan kata-kata:“Pengantin hanya berbahagia sehingga mendapat cucu, selepas mendapat cucu hilanglah kebahagiaan atau bercerai apabila telah bosan atau tua.”“Apalah guna kekal bersama sehingga ke akhirat jika seorang di syurga dan seorang di neraka?”“Bahagia adalah bersifat sementara dan relatif dengan faktor suasana dan masa.”Jadi, saya katakan kepadanya, berilah ucapan terbaik (sebenarnya doa) daripada sunnah Rasulullah SAW, maksudnya: "Semoga Allah memberi barakah bagi kamu dan memberkati keluarga kamu, dan mengumpulkan kamu dalam kebaikan dan kepada kebaikan." (Dalam bahasa Arabnya: Barakallah laka, wa barakallahu alaika wa jamaa bainakuma fi kulli khair)Inlah doa untuk pengantin yang diajarkan oleh Rasulullah agar pengantin mendapat kebaikan dan kebahagiaan di dunia (generasi demi generasi dan di akhirat lagi diberkati Allah). Kita doakanlah pengantin yang diraikan dengan doa ini.Justeru, asas perkahwinan yang bagaimanakah yang paling membahagiakan? Semua perkahwinan mengharapkan kebahagiaan, tetapi berapa orangkah yang dapat menikmati bahagia? Apakah asas perkahwinan yang membuahkan kebahagiaan berpanjangan?
· Jika asas perkahwinan adalah kerana seks, maka pasangan akan selalu bertengkar jika suasana di bilik tidur tidak memuaskan.
· Jika asas perkahwinan adalah kerana harta, maka pasangan bakal bercerai jika ekonomi dalam rumah tangga merudum dan muflis.
· Jika asas perkahwinan kerana kecantikan wajah dan tubuh badan, pasangan akan lari apabila rambut beruban, muka kerepot atau badan jadi gendut.
· Jika asas perkahwinan kerana anak, maka pasangan akan mencari alasan untuk pergi jika hati (anak) tidak hadir.
· Jika asas perkahwinan kerana keperibadian, pasangan akan lari jika orang berubah tingkah lakunya.
· Jika asas perkahwinan kerana cinta, hati manusia itu tidak tetap dan mudah terpikat pada hal yang lebih baik, tambahan pula manusia yang dicintai pasti mati atau pergi.
· Jika asas perkahwinan kerana ibadah kepada Allah, sesungguhnya Allah itu kekal dan Maha Pemberi Hidup kepada makhluk-Nya. Allah mencintai hamba-Nya melebihi seorang ibu mencintai bayinya. Maka, tidak ada alasan apa pun di dunia yang dapat meretakkan rumah tangga kecuali jika pasangan menderhakai Allah. Kebahagiaan dalam perkahwinan mesti dimulakan dengan langkah yang pertama iaitu pemilihan yang tepat!Pemilihan tepat perlukan kriteria pemilihan. Kita perlu bertindak dengan berhati-hati dan cermat dalam membuat pilihan agar tidak tersalah pilih. Ingatlah bahawa Allah memakbulkan permintaan kita menurut kehendak ‘niat’. Jika kita menginginkan jodoh baik, mula dari diri sendiri menjadi baik dan carilah di tempat baik pula.Diriwayatkan daripada Umar bin Khattab bahawa Rasulullah bersabda bersabda bermaksud: “Pahala perbuatan itu tergantung niatnya, setiap orang akan mendapat pahala sesuai dengan niatnya. Sehingga, sesiapa saja yang berhijrah kerana Allah dan rasul-Nya, maka hijrahnya bernilai di sisi Allah dan rasul-Nya, dan sesiapa saja berhijrah kerana keuntungan dunia atau kerana untuk menikahi wanita, maka yang diperolehnya hanya terbatas apa yang diniatkannya." (Hadis riwayat Bukhari).Rasulullah bersabda bermaksud: “Orang mengahwini wanita kerana empat perkara iaitu hartanya, keturunannya, kecantikannya dan agamanya. Oleh itu, carilah wanita yang mempunyai agama (kerana kalau tidak) binasalah dua tanganmu." (Hadis riwayat Bukhari dan Muslim)Hadis itu tidak hanya merujuk kepada pihak lelaki, malah wanita dalam memilih calon suami. Oleh kerana Rasulullah tidak merumuskan bentuk tertentu daripada perkataan binasa, berkemungkinan besar yang dimaksudkan ‘binasa’ adalah penderitaan batin kerana ketegangan yang berlaku akibat salah memilih teman.Janganlah terpedaya dengan keindahan fizikal dan duniawi semata-mata dan mengaburkan tujuan perkahwinan yang sebenarnya iaitu penyempurnaan ketakwaan kepada Allah.Jodoh memang sudah ditetapkan Allah, tetapi sesuai dengan hukum-Nya, Allah tidak akan menjodohkan seseorang yang soleh dengan seorang penzina. Jika ingin mendapatkan jodoh yang baik, maka mulalah dengan memperbaiki diri sendiri kerana Allah menetapkan takdir, bahawa:" (Lazimnya) perempuan yang jahat untuk lelaki-lelaki yang jahat, dan lelaki-lelaki yang jahat untuk perempuan-perempuan yang jahat dan (sebaliknya) perempuan-perempuan yang baik untuk lelaki-lelaki yang baik dan lelaki-lelaki yang baik untuk perempuan-perempuan yang baik. Mereka (yang baik) itu adalah bersih daripada (tuduhan buruk) yang dikatakan oleh orang (yang jahat); mereka (yang baik) itu akan beroleh pengampunan (daripada Allah) dan pengurniaan yang mulia." (Surah an-Nur, ayat 26)Bagaimanakah kita akan mendapat pasangan sebaik Saidatina Siti Khadijah atau Siti Fatimah jika tidak sebaik Rasulullah atau Saidina Ali.Semoga pemilihan yang berdasarkan kepada kriteria itu atas akan mendapat kebahagiaan hakiki di dunia dan akhirat.PENULIS boleh dihubungi di alamat wanitajim0@yahoo.com dan jawapan kepada persoalan boleh layari
Labels: Jatidiri, keibubapaan, Perkahwinan
Wadah Wanita Islam:Barangan lusuh, riak cacatkan amalan sedekah
0 comments Posted by Mama at 10:08 PMBarangan lusuh, riak cacatkan amalan sedekah
Oleh Ir. Hjh. Endok Sempo Mohd Tahir
Sketsa 1: “Roha, ada tak sukarelawan untuk memilih, membungkus, mengemas serta menyusun sumbangan orang ramai untuk mangsa tsunami?” Seorang kawan daripada pertubuhan bukan kerajaan (NGO) menelefon Roha, seorang sukarelawan.
“Maaf Kak Yani, rumah saya pun tengah penuh sesak dengan sumbangan baju daripada orang keliling yang bercampur baur antara terpakai dan baru. Sudah berapa malam tidur sehingga jam 2 pagi bersama sukarelawan lain. Saya tidak tergamak nak bagi mangsa baju buruk dan tidak lengkap, ada kain tanpa baju, ada baju tanpa kain. Kami sedang memilih yang terbaik dan boleh dipakai untuk dibungkus,” Roha menjawab.
Sketsa 2: “Kami dapati baju terpakai banyak di sana sehingga ada kanak-kanak bermain dan melompat di atas baju yang bertimbun.” Demikian kata ketua kampung di ground zero sambil tangannya menuding ke beberapa timbunan baju terpakai di hujung khemah mangsa tsunami. Ariff seorang sukarelawan sempat melihat longgokan pakaian itu. Tapi ternyata kain baju yang diberi amat daif. Seluar yang terlalu lusuh dan koyak. Tidak kurang juga pakaian dalam buruk. Aduhai! Mereka rasa dihina. Fahamlah dia mengapa mangsa tsunami tidak menghiraukan sumbangan baju terpakai itu. Kain baju yang diberikan hanya untuk menambahkan kesesakan di rumah.
Sketsa 3: “Kalau tidak ada orang surat khabar atau orang TV ambil gambar penyerahan sumbangan orang ramai, lambat kami dapat sumbangan.” keluhan mangsa yang baru saja mendapatkan bantuan makanan dan pakaian.
Sketsa 4: “Kita amat prihatin dengan tuan dan puan, sebelum depa sampai kita dah cacak dulu! Seorang ahli politik berceramah berapi-api, namun mangsa belum mendapat apa apa pun selepas beberapa hari!
Sketsa 5: “Ketika sukarelawan bomba mengepam keluar lumpur dari rumah, bantuan beberapa agensi berwajib juga sampai pada hari itu. Sedih pula melihatkan keadaan mangsa ombak, apabila hendak mendapatkan RM500 mereka terpaksa mendengar ‘rungutan’ wakil berkenaan dulu. Ada pula yang membidas kampung terbabit dengan menyatakan nelayan membuang sampah di laut walaupun ada kemudahan tong sampah sebelum bencana. Kini ombak menghantar kembali sampah ke rumah tuan. Kasihan melihat mangsa berkenaan hanya tunduk mendengar leteran pegawai.
Sketsa 6: “Pengagihan bantuan RM500 daripada kerajaan ada yang tidak menurut kriteria. Ada yang kena serpihan saja dapat bantuan. Ada pula yang terkorban ahli keluarga tidak dibantu. “Suaminya seorang pesakit jantung yang meninggal akibat terkejut mendengar kampung mereka dilanda tsunami. Pendeknya cara pembahagian bantuan kepada sebahagian mangsa tidak menurut prosedur keutamaan.” Demikian keluhan sukarelawan lain.
Beberapa sketsa diatas didengar daripada sukarelawan yang bertugas di kawasan yang dilanda tsunami. Ada beberapa perkara yang perlu kita renungkan untuk diambil iktibar daripada bencana tsunami dan hubungan kita sebagai pemberi sumbangan.
Dalam masyarakat kita, derma atau sumbangan adalah bersedekah yang boleh meringankan beban orang lain dan menyelamatkan kita daripada api neraka.
“Sedekah itu menghapuskan kesalahan seperti air memadamkan api” (Hadis Riwayat At Tirmidzi).
Dalam amalan bersedekah, kita perlu melakukannya dengan ikhlas kerana Allah, bukan disebabkan balasan nama atau sekadar bersedekah saja. Supaya bersedekah tidak menjadi sia-sia.
Islam mengajarkan umatnya menyumbang dan bersedekah menepati erti ‘sedekah’. Beberapa perkara perlu diambil perhatian dan tindakan demi kesempurnaan bersedekah.
Pertama: Barang yang disedekahkan itu hendaklah baik, elok dan tidak malu untuk dipakai (boleh dipakai). Adalah tidak wajar dan paling tidak munasabah barang yang disedekahkan itu tidak tergamak kita gunakan sendiri. Biarlah bersedekah dengan barang yang disenangi penerima. Allah melarang bersedekah dengan benda yang tidak baik kerana bersedekah adalah ibadat dan tanda mensyukuri nikmat Allah.
“Wahai orang yang beriman! Belanjakanlah pada jalan Allah sebahagian daripada hasil usaha kamu yang baik dan sebahagian daripada apa yang Kami keluarkan dari bumi untuk kamu. Dan janganlah kamu sengaja memilih yang buruk daripadanya lalu kamu dermakan atau kamu jadikan pemberian zakat, padahal kamu sendiri tidak sekali-kali akan mengambil yang buruk itu kalau diberikan kepada kamu, kecuali dengan memejamkan mata padanya. Dan ketahuilah, sesungguhnya Allah Maha Kaya, lagi sentiasa terpuji.” (Al-Baqarah ayat 267).
Kedua: Sesuatu yang disedekahkan ialah yang halal, bukan haram atau subahat.
Ketiga: Sunat bagi pemberi sedekah atau derma bersedekah dan berderma daripada benda yang disukai dan disayangi, tidak kira sama sedikit atau banyak.
“Kamu tidak sekali-kali akan dapat mencapai hakikat kebajikan dan kebaktian yang sempurna sebelum kamu dermakan sebahagian daripada apa yang kamu sayangi. Dan apa jua yang kamu dermakan maka sesungguhnya Allah Maha Mengetahuinya.” (Al-Imran ayat 92).
“Daripada Adiyie Hatim Radiallahuanhu berkata: Saya mendengar Rasulullah saw bersabda: Takutlah kamu akan api neraka walaupun dengan (bersedekah) separuh buah kurma.” (Riwayat Al-Imam Al-Bukhari).
Hadis ini menunjukkan amalan bersedekah walaupun hanya separuh buah kurma boleh menyelamatkan kita daripada api neraka.
Keempat: Bersedekah disertai dengan keikhlasan, bukan mengungkit, merungut, membidas dan menyakiti hati orang yang menerima sedekah kerana perbuatan ini haram dan merosakkan amalan bersedekah.
“Wahai orang yang beriman! Jangan rosakkan pahala sedekah kamu dengan perkataan membangkit-bangkit dan kelakuan yang menyakiti seperti rosaknya pahala amalan sedekah orang yang membelanjakan hartanya kerana hendak menunjuk-nunjuk kepada manusia (riak) dan ia pula tidak beriman kepada Allah dan hari akhirat. “Maka bandingan orang itu seperti batu licin yang ada tanah di atasnya kemudian batu itu ditimpa hujan lebat, lalu ditinggalkannya bersih licin (tidak bertanah lagi). Demikianlah juga halnya orang kafir dan riak itu, mereka tidak akan mendapat sesuatu pahala pun daripada apa yang mereka usahakan. Dan ingatlah Allah tidak akan memberi petunjuk kepada kaum yang kafir.” (Al-Baqarah-264).
Kelima: Sedekah yang diberikan secara sembunyi lebih afdal, ibarat tangan kanan yang memberi, tangan kiri tidak mengetahuinya. Perbuatan ini dekat kepada keikhlasan dan jauh daripada riak kerana sifat ini boleh merosakkan amalan sedekah. Tiada gunanya bersedekah jika mahu mendapat pujian dan dikatakan pemurah kerana dengan keikhlasan sahajalah ganjaran pahala diperoleh.
“Jika menampakkan sedekah kamu, ini sangat baik, tetapi jika kamu merahsiakannya, dan memberikan orang fakir, maka itu lebih baik bagi kamu dan akan melepaskan kamu daripada kejahatan kamu; Allah menyedari apa yang kamu buat” (Al Baqarah – 271).
Keenam: Sedekah tidak mengurangkan harta, sebaliknya menambah harta dan menjauhkan kefakiran, kekurangan dan kesempitan. Allah akan gantikan dengan yang lebih baik.
“Katakanlah wahai Muhammad sesungguhnya Tuhan-Ku memewahkan rezeki bagi sesiapa yang dikehendaki-Nya antara hamba-Nya dan Ia juga yang menyempitkan baginya, dan apa saja yang kamu dermakan maka Allah akan menggantikannya dan Dia sebaik-baik pemberi rezeki” (Saba’ – 39).
Ketujuh: Sedekah membersihkan harta dan menyucikan diri kita.
“Ambil sedekah daripada harta mereka untuk membersihkan dan menyucikan mereka dan doakanlah mereka. Sesungguhnya doa engkau itu menjadi ketenangan hati mereka. Allah maha mendengar lagi maha mengetahui” (At Taubah-103).
Ayat itu menjawab dua soalan pokok, iaitu apa yang harus disedekahkan dan mengapa umat harus bersedekah. Sedekah adalah untuk membersih dan menyucikan (jiwa) dan disedekahkan daripada harta atau benda yang dimiliki.
Walaupun pemikiran kebanyakan umat Islam masih menghubungkaitkan sedekah dengan kebendaan, renungkan sepotong ayat Allah (yang juga ajaran Rasul yang wajib) berbunyi:
“…tentang sedekah dan orang yang tidak mendapati sesuatu melainkan tenaganya (usaha mereka)” (At Taubah - 79).
Sebenarnya sedekah bukan saja berbentuk kebendaan. Bagi yang tidak mampu atau tiada harta, Allah menghendaki mereka menyumbangkan usaha dan doa. Usaha termasuk menjadi sukarelawan, daya upaya, idea dan ikhtiar, kegiatan, perbuatan untuk mencapai, melaksanakan dan menyempurnakan sesuatu usaha yang disumbangkan dan memanfaatkan mereka yang layak menerima sedekah. Walaupun hanya sekadar doa dan senyuman.
‘Senyum itu adalah sedekah’ (maksud hadis).
Penulis boleh dihubungi di e-mel, wanitajim0@yahoo.com dan sebarang jawapan terhadap kemusykilan boleh dilayari di www.wanitajimceria.blogspot.com.
Labels: Doa, Kasih sayang, Menolong bangsa teraniaya, Muhasabah, sedekah, Sillaturrahim
Wadah Wanita Islam:Iman harus meningkat selaras pertambahan usia
0 comments Posted by Mama at 11:19 PMIman harus meningkat selaras pertambahan usia
Oleh ir Hjh. Endok Sempo Mohd Tahir
KITA baru berada dalam tahun 2005. Oleh itu, elok kita muhasabah diri untuk melihat kembali senarai resolusi awal tahun lalu. Sejauh mana kejayaan pelaksanaan. Jika berjaya dicapai, perlu difikirkan lagi bagaimana untuk meningkatkan prestasi.Apabila disemak, banyak juga resolusi tidak tercapai dan gagal mencapai sasaran. Kegagalan perlu diselidik. Di manakah kekurangan dan kelemahan diri sendiri? Jika hendak berjaya, perlu berani menyalahkan diri sendiri di atas apa yang berlaku ke atas diri. Jika asyik menyalahkan orang lain, sentiasa mencari alasan, pasti akhirnya tidak akan menjadi golongan cemerlang.
Hal itu mengingatkan kita kepada lagu ’Bangau Oh Bangau’, satu lagu kesukaan pada zaman kanak kanak. Mesej yang menonjol daripada lagu itu adalah tabiat suka mencari alasan dan menyalahkan orang lain. Apabila masalah timbul kita akan mencari alasan dan mencari kambing hitam untuk menyalahkan orang lain. Bangau menyalahkan ikan. Ikan menyalahkan rumput. Rumput menyalahkan kerbau dan begitu seterusnya. Sikap cepat menyalahkan orang lain, tanpa usul periksa adalah budaya keji. Fenomena ’Bangau Oh Bangau’ menjadi budaya kita. Apabila umat Islam ditimpa tragedi, kita salahkan orang lain. Walhal kita juga sebahagian daripada masalah dan tragedi itu. Kita perlu mencari kesalahan sendiri, kemudian perbaiki kesilapan itu. Sekarang mari kita muhasabah diri untuk memperbaiki kesilapan. Dengan itu, semoga insya-Allah meningkatkan ilmu, takwa dan amal.
Resolusi yang realsitik
Beralih ke tahun baru, kita pun berkira kira ingin mencipta resolusi baru lagi. Tidak ada salahnya mengarang resolusi demi resolusi. Hal ini kerana resolusi melambangkan keghairahan cita-cita dan wawasan masa depan yang lebih baik. Namun, resolusi perlulah realistik dan berpijak di bumi nyata. Ia perlu praktikal dan boleh dilaksanakan. Wawasan yang realistik penting. Firman Allah bermaksud:
“Allah tidak membebani seseorang melainkan sesuai dengan kemampuannya.” (Surah al-Baqarah, ayat 286).
Ayat ini menunjukkan untuk mencapai kejayaan, matlamat dan cita-cita, seseorang itu perlu menyesuaikannya dengan kemampuan dan kekuatan yang dimiliki, iaitu ia hendaklah realistik. Adalah tidak munasabah jika seorang sasterawan ingin membuka klinik perubatan untuk merawat orang sakit. Demikian juga, tidak realistik jika seseorang bercita-cita untuk melaksanakan ibadah seumur hidupnya tanpa tidur.
Imam Bukhari dan Muslim meriwayatkan, pada zaman Rasulullah saw ada beberapa sahabat yang berazam untuk melakukan perkara luar biasa untuk mendekatkan diri kepada Allah. Antara mereka berazam untuk terus menerus berpuasa. Seorang lain, berazam untuk melaksanakan ibadah tanpa tidur dan ada yang berazam tidak berkahwin agar ibadahnya tidak terganggu. Apabila Nabi diberitahu mengenai perkara itu, Baginda tidak bersetuju dengan tindakan mereka. Hal itu kerana ia bercanggah dengan sifat semula jadi manusia. Rasulullah bersabda bermaksud:
“Demi Allah, akulah manusia yang paling takutkan Allah dan paling bertakwa kepada-Nya, tetapi aku berpuasa dan berbuka, aku bersolat dan tidur dan aku juga berkahwin. Sesiapa yang tidak mengikut sunnahku ini, dia tidak termasuk dalam golonganku.”
Resolusi dan cita-cita yang akan menjadi kenyataan adalah yang realistik disusuli dengan amal berterusan.
Semakin tua semakin menjadi
Sebaik melangkah tahun baru, bertambah usia, kita semakin tua. Seharusnya, kita semakin hebat berperanan. Bertambah kesungguhan dan komitmen terhadap melakukan kebaikan untuk masyarakat. Ada antara kita apabila mencapai umur tua, ‘pencen’ dalam segala hal. Mereka bukan saja pencen di sudut kerjaya, malah membuat amal kebajikan, dakwah, mengeluarkan idea serta pemikiran untuk kemajuan dan kebaikan masyarakat.Perkara sebegini tidak seharusnya berlaku. Semakin tua, seharusnya semakin menjadi dalam hal kebaikan. Semakin berumur, semakin gigih menegakkan kebenaran. Semakin berumur, semakin komited dengan kebajikan dan makruf. Mari kita mengenang kembali sirah kehidupan Nabi Muhammad. Baginda diutus menjadi rasul ketika berumur 40 tahun. Berjuang di Makkah selama 13 tahun sebelum berhijrah ke Madinah. Umur baginda ketika berhijrah adalah 53 tahun. Lebih kurang umur pekerja di Malaysia yang akan pencen. Namun, Baginda tidak pencen. Semakin tua semakin menjadi. Sewaktu penghijrahan itu, tidak ada kereta Chevrolet, Honda, Toyota atau Kancil, yang ada cuma unta. Bayangkan penghijrahan itu yang memerlukan pengorbanan tinggi. Ia dipenuhi penderitaan.Pahlawan Tua Musa bin Nusair
Contoh lain, yang tidak kurang menarik adalah pengorbanan panglima Islam terkenal, Musa bin Nusair. Apabila sebut nama ini, kita teringat pada sebuah negara yang satu ketika dulu ditakluk oleh beliau. Negara itu bernama Sepanyol, yang dahulunya dikenali sebagai bumi Andalus. Musa bin Nusair adalah penakluk gagah berani dan handal hingga majoriti rakyat Sepanyol menerima Islam dan negara itu mencapai kegemilangan di tangan umat Islam. Umur Musa bin Nusair ketika berangkat ke Sepanyol lebih kurang 70 tahun. Umur 70 tahun ini kita boleh panggil beliau dengan gelaran tok wan atau datuk. Namun, semakin tua, semakin menjadi perjuangan dan kebaikannya.Oleh itu, janganlah jadikan umur tua sebagai alasan untuk melembapkan diri. Ambillah iktibar daripada Rasulullah dan panglima Islam Musa bin Nusair yang membuka Sepanyol untuk menerima kehebatan Islam.
Semua ini merangsang kita ke arah sentiasa komited dengan usaha baik walaupun tua. Jadi, itulah yang dimaksudkan dengan semakin tua, semakin menjadi, bukan dalam bentuk negatif, tetapi dalam bentuk positif. Jadikan setiap penggantian tahun sebagai hari peningkatan (Az-Ziyadah) ilmu dan amal sebagai tanda syukur. Hal ini supaya kita tidak termasuk golongan orang yang terkena azab pedih Allah.Contohilah seekor lebahMungkin antara resolusi ingin dicontohi adalah seekor lebah yang hinggap pada bunga untuk membantu dan tidak merosak. Menjadikan setiap tempat adalah ladang amal, setiap orang adalah objek untuk meraih keredaan Allah tanpa mengoyak-ngoyak perasaan dengan perbezaan pendapat.
Ya Rabbi! Tanamkan ladangku dengan keinsafan Nabi Adam, ketahanan Nuh, kecerdasan Ibrahim, ketulusan Ismail, kesederhanaan Ayub, kesabaran Yunus, kelapangan Yusuf, kesungguhan Musa, kefasihan Harun, kesucian Isa dan kematangan Muhammad. Bukan hanya ungkapan “Selamat Tahun Baru” diucapkan, tetapi “Selamat Merenungi Nikmat Allah, Selagi Roh Masih Bersatu Dalam Jiwa.”
PENULIS boleh dihubungi pada wanitajim0@yahoo.com dan jawapan permasalahan boleh dilihat di www.wanitajimceria.blogspot.com.
Labels: Harga diri, Jatidiri, Jihad, Muhasabah, Tahun Baru
Bisik doa pada telinga mangsa Tsunami
Endok Sempo Mohd Tahir
RAKYAT Malaysia begitu prihatin dengan nasib yang menimpa mangsa ombak tsunami. Bukan sekadar kata-kata, malah bantuan dalam bentuk kebendaan dan wang ringgit dihulurkan bagi meringankan penderitaan dan beban mangsaSementara keperluan kebendaan mangsa tsunami diuruskan oleh agensi kerajaan dan beberapa badan politik, kita boleh mencurah bakti secara persendirian atau melalui badan bukan kerajaan (NGO) setempat sebagai sukarelawan. Satu lagi keperluan yang amat ketara adalah kekuatan emosi dan kerohanian tinggi. Mangsa tragedi harus diingatkan agar bersabar dan menguatkan semangat menanggung penderitaan ini. Mereka perlu diberikan motivasi kerohanian dalam bentuk kekentalan akidah dan keyakinan kepada Allah. Di sinilah peranan NGO Islam dan sukarelawan. Selain keperluan kebendaan seperti makanan, pakaian, tempat tinggal dan membersihkan persekitaran, mangsa terutama yang kehilangan ahli keluarga memerlukan sokongan emosi dan kerohanian. Biasanya dalam adat orang Melayu Islam, majlis tahlil selepas kematian diadakan. Kita jelas, ia amalan yang tidak dilakukan pada zaman Rasulullah. Namun, kalau dilihat dari sudut lain, majlis itu sebenarnya sebahagian daripada tanda bahawa seluruh kampung dan komuniti turut berkabung dengan keluarga yang ditimpa musibah. Kesannya amat positif.
Sokongan spiritual
Seorang sahabat saya pernah kehilangan beberapa orang yang dikasihi, terasa kehilangan dan kesunyian. Kedukaannya dapat diringankan apabila sanak saudara dan jiran tetangga berkumpul pada majlis itu. Perkara ini sebenarnya menunjukkan keprihatinan masyarakat dalam membantu meringankan beban, penderitaan dan kesedihan orang lain. Oleh itu, kita perlu tumpukan amal sukarelawan terhadap sokongan emosi dan kerohanian ini. Kita gerakkan masyarakat setempat untuk turut mendoakan kesejahteraan mangsa bencana ini dengan mengadakan solat jenazah ghaib bukan saja di Malaysia, malahan di Sumatera, Sri Lanka, India dan Thailand.
Kita penuhkan masjid atau surau di kampung yang terbabit, jemput seramai mungkin mangsa dan ajak rakan sukarelawan lain bersama meramaikan program itu. Selepas majlis tahlil, berikan sedikit tazkirah, peringatan serta kata-kata perangsang dan motivasi. Kita bungkuskan sedikit hadiah seperti peralatan sekolah baru kepada keluarga terbabit. Sebagai sokongan emosi, kita peluk erat-erat mangsa dan bisikkan doa pada telinga mereka. Jika ikhlas, spontan titisan air mata penuh simpati akan menyejukkan hati mereka. Kalau ada kelapangan dan permintaan, hadirlah lagi untuk majlis tahlil dan bacaan Yassin di surau lain pula. Kita lahirkan keprihatinan dalam bentuk amal.
Mereka kini berada dalam kebingungan, dalam keadaan yang amat tidak berdaya, sedih dan sugul. Terngiang-ngiang pada telinga mereka, jeritan ahli keluarga meminta tolong, umpama mengalami mimpi ngeri. Kerohanian mereka ditampar dengan cukup hebat! Mereka perlu diberikan pengharapan bahawa ketentuan Allah pasti ada hikmahnya. Mereka perlu kena diperingatkan bahawa mereka ada Allah untuk mengadu.
Adakah Tsunami hanya bala dari ALlah semata mata?
Hal ini mengingatkan saya kepada e-mel yang diterima daripada seorang sahabat bukan Islam ketika gempa bumi yang berlaku setahun lalu. Kedahsyatan gempa bumi berkekuatan 6.3 skala Richter itu menghancurkan kota Bam di Tenggara Iran pada Jumaat, 26 Disember 2003. Kejadian pada jam 5.28 pagi waktu tempatan masih segar dalam ingatan. E-mel kawan itu antaranya berbunyi : “Kalau gempa bumi terjadi di Amerika Syarikat atau Eropah dan mangsanya adalah bukan Islam, orang Islam akan berkata ‘Itu bala daripada Allah’. Kini apa pula yang akan kamu katakan mengenai bencana yang menimpa kaum Muslim di kota Bam, Iran?” Saya bingung sejenak untuk menjawabnya. Ya, ada antara kaum Muslimin memang suka menghukum dan menjatuhkan kecaman atas nama Allah. Apabila ada musibah menimpa orang lain yang tidak seagama atau tidak sefahaman, jangankan hendak menolong, malah lidah itu spontan tanpa rasa simpati akan terus mengatakan: “Itulah bala daripada Allah atas kesesatan mereka.”
Sewaktu kecil, seorang pak cik yang berjiran dengan rumah kami memberikan komen: “...itulah hukuman kepada masyarakat daerah itu.” Hal itu kerana menurut pengetahuannya, orang di sana malas sembahyang. Komen itu adalah berikutan banjir besar di sebuah negeri di tanah air. Oleh kerana masih kecil pada masa itu, saya percaya bulat-bulat perkataan pak cik itu yang juga seorang guru agama. Saya menjadi seorang anak yang rajin sembahyang kerana takut tertimpa bencana banjir. Kini, apabila difikirkan komen sebegini tidak harus tuturkan dalam saat-saat mereka sedang menderita bencana alam ini, kerana tidak boleh diterima akal.
Mengapa sekarang banyak negara Eropah yang makmur, hidup sejahtera, negaranya nyaman, tidak ada banjir dan gempa bumi? Walhal, majoriti penduduknya tidak bersembahyang kerana mereka bukan Islam. Jika benarlah alasan turunnya musibah hanya kerana tidak sembahyang, alangkah tidak adilnya Allah yang sering menimpakan banjir kepada penduduk penduduk Islam di Malaysia, Indonesia, Bangladesh dan negara Islam lain.
Sabar dan Muhasabah diri
Sikap suka menghukum dan mengecam bukan sikap bijaksana. Ketika kita atau orang lain ditimpa musibah, tindakan yang terbaik adalah bersabar, melihat dalam diri, bermuhasabah dan saling-menolong. Bencana boleh saja datang pada bila-bila masa dan di mana saja. Penderitaan akibat bencana alam yang dialami orang Islam dan bukan Islam sama saja menyakitkan. Kesedihan seorang ayah yang kehilangan lima anak akibat hentaman ombak besar tsunami di Pulau Pinang dengan kesedihan keluarga gadis mangsa rogol di Kedah, baru baru ini, sama beratnya.
Apakah perasaan Mama?
Ketika berita mengenai ombak besar tsunami tersiar, tiba-tiba saya berasa takut. Apa jadinya apabila kejadian itu menimpa saya? Menjelang tidur, terlintas ketakutan dalam hati, bagaimana kalau menjelang Subuh nanti, tiba-tiba atap rumah saya runtuh? Gempa itu hanya terjadi 15 saat, apa yang boleh saya dilakukan dalam waktu sesingkat itu? Lari? Mustahil! Dari pintu bilik saya hingga halaman luar yang beratap langit memerlukan memerlukan masa paling minimum satu minit. Belum lagi masa yang saya perlukan untuk mencari dan memakai tudung? Mengejutkan anak-anak yang sedang tidur, Demikian juga dokumen penting dan wang ringgit yang diperlukan pada saat genting.
Namun, akhirnya saya tersedar, tidak ada tempat untuk lari! Ketika kematian menjelang, ke manakah manusia akan lari? Bukankah Allah telah berfirman bermaksud:
“Apabila telah datang ajal mereka, maka mereka tidak dapat melambatkannya barang sesaat pun, dan tidak pula dapat menyegerakannya.” (Surah Yunus, ayat 49).
Firman-Nya lagi bermaksud:
“Di mana saja kamu berada, kematian akan mendapatkan kamu, sekalipun kamu berada dalam benteng yang tinggi lagi kukuh.” (Surah an-Nisa, ayat 78).
Akhirnya, barulah saya boleh tidur.
Ujian dan peringatan dari Allah
Mungkin reaksi yang paling bijaksana dalam menghadapi musibah seperti ini adalah dengan menganggapnya sebagai ujian dan peringatan daripada Allah. Ujian pertama adalah kesabaran bagi yang ditimpa musibah dan juga keduanya ujian kepada kita, untuk melihat sejauh mana rasa keprihatinan, persaudaraan, keimanan dan keikhlasan dalam membantu saudara seIslam atau bukan Islam. Satu musibah juga ujian hati nurani, kewibawaan dan kecekapan pegawai serta agensi kerajaan, tokoh masyarakat setempat dan korporat dalam menangani masalah bencana alam yang paling dahsyat sejak empat dekad ini. Musibah juga seperti test-case atau peringatan dari ALlah untuk melihat apakah seseorang boleh terkesan atau tersedar daripada segala perilaku negatifnya selama ini.
Kematian bila bila masa akan tiba
Ketika kita melihat musibah menimpa orang lain, kita harus sedar dan bersiap-sedia menghadapi kematian. Kematian boleh datang secara tiba-tiba, menjemput pada bila-bila masa saja. Tanpa amaran. Untuk itu, sebelum kematian menjelang, kita harus menyiapkan bekal amal sebanyak-banyaknya.
Akhirnya, hayati kisah yang diriwayatkan oleh Ibnu Umar, katanya:
“Telah datang seorang lelaki Ansar untuk bertemu Rasulullah yang sedang berkumpul dengan sahabat. Lalu lelaki itu bertanya: Siapakah yang paling cerdik dan mulia wahai Rasulullah? Rasulullah bersabda, “Secerdik-cerdik manusia ialah orang yang paling banyak mengingat kematian serta yang gigih membuat persiapan menghadapi kematian itu. Merekalah orang yang paling cerdik. Mereka meninggalkan dunia dengan kemuliaan dan menuju akhirat dengan keagungan.” (Hadis riwayat Ibnu Majah dan Abi al-Dunya).
Labels: Doa, Harga diri, Jatidiri, Jihad, Menolong bangsa teraniaya, Muhasabah, Musibah sakit