Oleh Endok Sempo Mohd Tahir
MENJELANG Nisfu Syaaban, baru-baru ini, saya dimeriahkan dengan panggilan sistem pesanan ringkas (SMS) daripada kawan. SMS pertama daripada Dr Norrain berbunyi: “Semarak Ramadan, Semarak Takwa.” SMS kedua daripada Liya: “Ramadan yang penuh berkat, bersama meningkatkan ketakwaan." SMS ketiga daripada Nawal Al-Farooqi: “Ahlan wa sahlan, Ya Ramadan al-mubarak.” SMS keempat daripada Ayesya Gilbert: “Ramadan, the month of blessings, have u planned to grab this ‘gift’ from Allah?” SMS kelima daripada suami: “Sayang! Dua minggu lagi Ramadan yang kita rindukan akan menjelang, berdoalah agar kita dapat bertemu dengannya?” SMS terakhir daripada Zizah membuat saya lebih terpanggil untuk menjawabnya:
Z: Dah baca?
S: Baca apa?
Z: Laa...Tak baca lagi ke?
S: Tak baca apa?
Z: Bila nak baca?
S: BACA..TAK BACA..BACA APANYA? (Dibaca dengan nada separuh berang).
Z: BUYUTUNA FI RAMADHAN (RUMAH KAMI DI BULAN RAMADHAN) – buku baru, karangan Seorang ulama kontemporari Dr Abdul Wahid Al Wakil.
S: Oh buku tu dah beli tetapi belum baca...bagus ke?
Z: Siti kata bagus...sebuah buku yang MESTI dimiliki oleh setiap keluarga Islam yang ingin ‘menang’ trofi Ramadan.
S: Lagi.
Z: Marhamah cerita, Satu pendekatan menyambut Ramadan yang totally berbeza daripada yang saya amalkan selama ini. Memasang langsir menyambut Ramadan? Biasanya saya pasang langsir untuk sambut raya...
S: Ini nampaknya satu persepsi baru menyambut Ramadan.
Z: Malah, saya lebih faham mengapakah saya tidak mendapat kesan yang diharapkan daripada ibadah puasa saya iaitu takwa.
Sebaik SMS selesai, terlihat pula paparan e-mel:
“Kami sedang giat membuat kempen Semarak Ramadan bersama meningkatkan ketakwaan.”
Tujuan Kempen Semarak Ramadan ialah:
l Mengingatkan semua Umat Islam akan kedatangan bulan yang penuh barakah (Ramadan).
l Memberikan makluman sebagai persediaan awal bagi memeriahkan Ramadan dengan Pesta Amal.
l Memeriahkan Syaaban sebagai persediaan menyambut Ramadan.
Antara agenda yang dilaksanakan:
l Penjualan buku Ramadhan Fi Buyutuna – Rumah Kami di Bulan Ramadan.
l Kempen Semarak Ramadan Melalui SMS.
Bagaimana? Hantar SMS kepada minimum lima orang. Contoh SMS: ‘Semarak Ramadan Semarak Takwa’, ‘Sudahkah Anda Bersedia Untuk Ramadan Kali Ini?’, ‘Sudahkah Anda Merancang Amalan Untuk Ramadan Kali ini?’, ‘Selamat Menyambut Ramadan Al Mubarak?’. Akhiri SMS dengan ungkapan ‘Bersama Meningkatkan Ketakwaan’.
Marilah kita menyeru semua umat Islam seluruh negara untuk turut berkempen melalui SMS bersama kami dalam usaha merebut pahala pada Ramadan ini.
Apakah perasaan kita jika mendapat SMS bertalu-talu seperti ini. Tentu kita terpanggil untuk mengorek rahsia di sebalik panggilan SMS yang bertali arus ini. Hati kita bersorak bangga bahagia kerana diingatkan untuk mendapat ‘hadiah’ terbesar dan teristimewa daripada Allah.
Menjelang bulan ini, kita dapat melihat orang beriman menunjukkan reaksi berbeza dengan keadaan berbeza.
Mereka yang merasai sebelum ini keseronokan dengan kedatangannya, kemeriahan dengan kehadirannya dan sentiasa merasai kewangian rahmatnya.
Tahun demi tahun bersilih ganti, namun perasaan rindu dan mengharap tidak pernah pudar. Inilah dia perhiasan yang akan menyinari hati dan penyesalan yang mula datang, lantas menyebabkan doa yang tidak putus: “Ya Allah temukanlah kami dengan Ramadan.”
Bersediakah kita menghadapi Ramadan?
Persediaan amali bermula seawal Syaaban dengan memperbanyakkan puasa sunat dan membaca al-Quran.
Persediaan jiwa dengan doa dan mengingati kelebihan dan kebaikan Ramadan. Ini seperti dalam hadis yang diriwayatkan oleh Anas dari At Tabarani: “Sesunggguhnya apabila masuk bulan Rejab, Rasulullah berdoa: Ya Allah berkatilah kami pada bulan Rejab dan Syaaban dan sampaikanlah kami ke bulan Ramadan.”
Ketika menyambut kedatangan Ramadan, kita perlu mencipta suasana meriah, ceria dan seronok dalam rumah tangga. Penciptaan suasana menanti dan menunggu seolah-olah kita menantikan kedatangan kekasih selama setahun.
Pasang langsir baru, mengecat rumah, jika perlu dicat, menyusun atur semula kedudukan perabot, pasu bunga, menggantung ayat al-Quran dan gambar pada dinding.
Bilik anak jangan dilupakan, dengan memasang belon. Anak digalak melukis dan menulis slogan menyambut Ramadan.
Kita perlu tonjolkan suasana gembira di mata anak. Ini supaya mereka dapat merasai pentingnya kedatangan Ramadan sebagai syiar bagi keluarga dan keprihatinan terhadap kedatangan kekasih yang disayangi.
Di samping itu, anak kecil dilatih berpuasa sedikit demi sedikit. Mula berpuasa dua jam, kemudian empat jam, setengah hari dan akhirnya dapat puasa sehari penuh.
Mereka perlu difahamkan bahawa puasa yang sempurna perlu disertai dengan tingkah laku dan akhlak yang baik. Peraturan menonton televisyen perlu diubah, jangan biarkan anak menghabiskan masa melepak di depan televisyen. Jadilah ibu bapa kreatif dan menyeronokkan dengan menggantikannya dengan kegiatan lebih berfaedah. Contohnya, peraduan membaca al-Quran terbanyak dalam program tadarus. Adakan kuiz sejarah Islam dan sesi bercerita mengenai kisah pahlawan terbilang dalam sirah nabawiyah. Anak seronok dengar cerita. Akhir sekali jangan lupa menyediakan hadiah menarik.
Begitu pun, ada yang tidak merasakan ‘kemeriahan’ Ramadan. Dari aspek ibadat puasa, mengapa kita tidak mencapai matlamat yang diinginkan iaitu takwa?
Untuk menjawab persoalan ini marilah memahami tulisan Ibn Al-Qayyim yang menyebut dalam kitabnya Zad Al Maad: “Orang yang berpuasa tidak melakukan, tetapi ‘meniggalkan’ kerana memperhambakan diri. Ia meninggalkan kesukaan nafsu dan kelazatannya kerana mengutamakan kasih Allah dan keredaan-Nya. Puasa memelihara kesejahteraan hati dan kesihatan anggota badan serta mengembalikan kepadanya segala yang dirampas oleh nafsu syahwat!”
BUKU Buyutuna Fi Ramdahan - Rumah Kami Pada Ramadan boleh dibeli dengan menelefon 019-712 3004 atau 012-7601485 dan sebarang pertanyaan boleh die-mel kepada wjim@pd.jaring.my
Labels: Ramadhan
0 comments:
Post a Comment