Blogger Template by Blogcrowds

Suburkan budaya membaca elak kemunduran ummah
Oleh Endok Sempo Mohd Tahir

SABTU lalu, saya dan suami ke Pusat Dagangan Dunia Putra (PWTC), Kuala Lumpur untuk mengunjungi Pesta Buku Antarabangsa yang berakhir 1 Jun ini.Kami yang ‘hantu buku’ memang sentiasa menanti kedatangan pesta buku ini. Pada waktu beginilah kita akan dapat menjamu mata dan mengufuk minda terhadap buku terbaru. Inilah peluang keemasan sekali dalam setahun. Jika tertinggal peluang ini, kita terpaksa menunggu setahun lagi.Ketika membelek-belek buku di pondok nombor 3074, satu suara mengejutkan kami. “Assalamualaikum! Muhamad! Apa khabar? Takkan berdua saja?” Ahmad menyapa sahabat lamanya yang hampir 10 tahun tidak berjumpa.“Waalaikumussalam, khabar baik! Ahmad, hari ini kami hanya berdua, nanti apabila cuti sekolah bermula kami akan bawa anak-anak pula,” jawab suami dengan wajah ceria kerana dapat bertemu sahabat lamanya.“Ehh lama kita tak jumpa, dekat 10 tahun. Banyak buku awak beli? Kebetulan awak dah lama berada di sini saya nak tanya, tingkat berapa buku teknikal? Saya nak cari buku mengenai kerja perkhidmatan dan perundingan kejuruteraan M & E (mekanikal & elektrikal),” tanya Ahmad dengan penuh minat. “Buku teknikal M & E terletak di paras 4, di paras 3 ni banyak bahan bacaan agama pendidikan dan bacaan umum,” suami memberikan maklumat lanjut. “Ini buku Jalan Dakwah (Mustafa Masyhur), Langkah Bermula (Al Munthalaq), Pelembut Hati (Ar Raqaiq) dan Hambatan-hambatan dakwah (Al Awaiq) buku baru keluar ke?” tanya Ahmad kepada suami saya.“Buku ini adalah buku panduan penggerak dakwah dan pencinta Islam yang mewakafkan diri mereka untuk dakwah dan Islam. Pendakwah yang bertekad menjadi pendakwah bukan penghukum. “Nak jadi pendakwah ni kena ada ilmu dakwah. Buku ini ditulis oleh Syeikh Muhammad Ahmad Ar Rashid seorang ulama dan pendakwah kontemporari yang mengotakan apa yang dikata serta berkaliber dan sepanjang hidupnya dihabiskan dengan berdakwah. “Buku tulisannya macam pisang goreng panas di kalangan generasi muda Islam di pasaran Asia Barat sehingga ada yang dicetak 18 kali. Kini buku beliau yang ‘best seller’ diterjemahkan ke dalam bahasa kita,” suami memberi penerangan mengenai buku itu.“Memang sepatutnya begitu, setiap perkara yang kita nak lakukan mestilah ada ilmu, jika kita nak berniaga kena ada ilmu bagaimana berniaga, malah kalau nak dirikan rumah tangga dan berkeluarga pun pun kita perlu ada ilmu demi kelangsungan keluarga bahagia. “Apatah lagi jika kita nak berdakwah, tugas nabi dan ulama, kita seharusnya melengkapkan diri dengan ilmu dakwah yang boleh melembutkan dan menarik hati objek dakwah kita, bukan lari kerana ketaksuban dan kejahilan kita,” Ahmad menyampuk dengan penuh semangat.“Lihat! Awak dah berkecimpung dalam kejuruteraan M & E lebih 20 tahun, tetapi awak masih lagi mencari buku terbaru dalam bidang itukan, jadinya dalam ilmu dakwah dan Islam pun begitu juga.“Teknik, strategi dan pengalaman penggerak dakwah kontemporari dan terkini perlu dibaca, dicontohi dan pelajari. Mengapa begitu? “Sebab kita nak tambah nilai dalam ilmu dan amal kita” terang suami saya.“Saya ingat dalam perkhidmatan dan pemasaran kejuruteraan saja ada istilah tambah nilai, rupa-rupanya dalam ilmu dan amalan Islam pun ada istilah itu,” katanya Ahmad cuba berjenaka.“Dengan membaca kita menambah nilai ilmu dan amal kita,” jawab suami ringkas.Pertemuan dan perbualan di PWTC hari itu semakin menginsafkan saya mengapa wahyu pertama yang diturunkan kepada Nabi Muhammad adalah perkataan "iqra" atau "bacalah". Arahan Allah kepada Rasulullah yang ‘buta huruf’ adalah satu petunjuk bahawa untuk menjadi umat yang disegani, bertamadun tinggi dan beradab mulia, kita mesti menjadi umat yang tekun membaca. Ini kerana membaca adalah kunci ilmu dan kejayaan. Dengan luas membaca pula, seseorang akan dapat menambah pengetahuannya dan meningkatkan kematangan ilmiahnya. Oleh kerana itu, pada zaman kegemilangan kerajaan Islam Abbasiah ada beribu-ribu kitab yang terkumpul di perpustakaan, sama ada di kota Baghdad dan pemerintahan Islam lain seperti Basrah dan Kaherah.Lihatlah bagaimana umat Islam zaman itu, amat menyanjung ilmu dan menghargainya. Kitab dan buku adalah benda yang amat berharga, lebih berharga daripada wang.Bukti banyaknya kitab yang tersimpan di Baghdad ketika itu apabila kota itu diserang oleh tentera Mongol yang dipimpin Timurlane. Diberitakan bahawa beratus ribu kitab di perpustakaan diraja kota Baghdad dihumban ke Sungai Furat sehingga air sungai itu bertukar warna menjadi hitam lantaran dakwat daripada kitab itu. Begitu juga dengan asap hitam dan gelap yang menyelubungi ruang udara kota Baghdad, selama 30 hari 30 malam kerana pembakaran perpustakaan Baghdad. Malangnya, kita masih melihat lagi zaman kemunduran umat. Kemunduran ini berlaku di antaranya kerana kita mula meninggalkan medan ilmu. Umat Islam kembali menjadi umat yang majoritinya buta huruf, malas membaca, cintakan hiburan dan tiada lagi keghairahan serta dahaga ilmu. Ini mengingatkan saya kepada bekas Perdana Menteri Israel, Golda Meir dalam satu syarahan perdana mengenai strategi ‘Perluasan Empayar Israel Raya (the bigger Israel)’. Sebaik menamatkan ucapannya seorang wartawan bertanya:“Tindakan mendedahkan rahsia agenda Israel Raya ini akan diketahui oleh orang Islam, ini boleh membahayakan perancangan kita.”Jawab Meir selamba: “Saya tidak takut dan tidak hairan kerana lebih 99 peratus umat Islam tidak membaca!” Nah kita lihat bagaimana persepsi mereka terhadap umat Islam.Kini walaupun tahap peratus umat Islam yang membaca meningkat, namun sebahagian besar masyarakat Islam kita masih tidak minat membaca. Statistik terkini ialah setiap rakyat Malaysia membaca satu buku dalam setahun! Mereka lebih suka menonton dan mendengar daripada membaca. Ilmu walaupun boleh juga didapati melalui menonton dan mendengar, namun tetap tidak dapat menandingi fungsi membaca.Maklumat yang boleh didapati daripada buku dan bahan cetak adalah lebih terperinci dan teliti untuk dijadikan rujukan. Budaya membaca akan memperkaya khazanah minda perbendaharaan ilmu. Bagaimana kita menghidupkan budaya membaca dalam keluarga kita? Bagaimana kita boleh menggalakkan anak agar suka membaca? Beberapa kaedah boleh digunakan: l Pertama, ia harus dimulakan oleh ibu bapa. Ibu bapa adalah contoh. Sekiranya kita suka dan rajin membaca, sifat itu akan ditiru oleh anak. Kita mesti menghakis pandangan salah bahawa masyarakat kita malas membaca. Kita lebih suka melaksanakan kegiatan berbentuk fizikal bersama anak-anak seperti bermain bola sepak daripada melaksanakan kegiatan berbentuk mental seperti membaca. Adakah kita mahu selama-lamanya menjadi masyarakat yang ketinggalan, menjadi penumpang dan bukan nakhoda, dipimpin dan tidak memimpin? Tentu tidak! Kita juga mahu menyumbang dalam kepemimpinan. Kita mahu maju. Dan caranya adalah satu, iaitu dengan menimba seberapa banyak ilmu yang mungkin. Dan ilmu tidak dapat ditimba melainkan dengan membaca. Maka tanamkan sifat membaca dalam diri kita dulu. Barulah anak kita akan mempunyai minat membaca. l Kedua, minat membaca saja tidak mencukupi jika tiada bahan yang hendak dibaca. Oleh itu, penting bagi kita untuk melengkapkan rumah kita dengan sudut bacaan atau perpustakaan kecil. Di sudut inilah kita mengisinya dengan buku berfaedah, yang dibaca oleh kita sekeluarga. Akhirnya ia menjadi satu budaya dalam keluarga untuk membaca. Masyarakat bertamadun berbangga dengan ilmu pengetahuannya dan bukan perhiasan dunia yang sementara bentuknya. Oleh itu, janganlah kita lokek membelanjakan wang untuk membeli buku. Jika tidak mampu, bawalah anak ke perpustakaan agar mereka dapat juga membacanya. l Ketiga, kita harus menjinakkan anak kepada buku dan menyemai sikap suka membaca dari kecil. l Keempat, kita harus rajin bertanya anak mengenai apa yang dipelajarinya di sekolah. Bagi ibu bapa yang mempunyai ilmu pengetahuan, mereka boleh mengaitkan apa yang dipelajari di sekolah dengan alam sekeliling.l PENULIS adalah seorang jurutera.

0 comments:

Newer Post Older Post Home