Oleh Ir Hjh. Endok Sempo Mohd Tahir
“SUAMI saya tidak pandai melayan saya,” Roziah mengadu kepada Hamdiah, teman baiknya yang kebetulan adik iparnya.
“Entah, adik saya seorang tu memang tak pandai nak bermesra dengan perempuan sejak dulu lagi,” jawab Hamdiah kesal dengan sikap adiknya.
“Tetapi kak, ketika bujang lain, zaman dah kahwin sepatutnya tidak sama, seorang lelaki perlu memahami perasaan isterinya. “Jika tidak tahu perlu bertanya daripada orang yang tahu atau pun kena banyak membaca dan mengetahui perasaan wanita. Ini penting untuk kebahagiaan rumah tangga,” kata Roziah dengan penuh semangat.
Perbualan ipar duai ini berkisar sekitar kemesraan, itulah yang membuat hubungan suami isteri terasa indah dan nikmat. Kemesraan berputik daripada cara berkomunikasi. Ada dua jenis lambang komunikasi yang biasa digunakan, iaitu lambang lisan dan bukan lisan. Menurut penelitian Profesor Birdwhistell, nilai keberkesanan lambang lisan berbanding bukan lisan adalah 35:65. Justeru, lambang bukan lisan lebih berkesan dalam menyampaikan pesanan dan penzahiran kasih sayang.Bermesraan adalah upaya suami isteri untuk menunjukkan saling kasih sayang dalam bentuk lisan. Sentuhan tangan dan gerak tubuh lainnya, adalah termasuk lambang bukan lisan ketika suami berkomunikasi dengan isterinya.
Komunikasi lisan semata-mata belumlah berkesan jika belum disertai oleh komunikasi bukan lisan. Rasulullah pun merasakan pentingnya bermesraan dengan isteri. Bahasa cinta Rasulullah kepada isterinya banyak digambarkan dalam bentuk bukan lisan hingga baginda mengamalkannya dalam kehidupan seharian.
- Tidur dalam satu selimut bersama isteri. Ini tercermin dalam hadis berikut:
Daripada Atha' bin Yasar: “Sesungguhnya Rasulullah dan Aisyah biasa mandi bersama dalam satu bejana. Ketika beliau sedang berada dalam satu selimut dengan Aisyah, tiba-tiba Aisyah bangkit. Baginda kemudian bertanya: “Mengapa engkau bangkit?” Jawabnya: “Kerana saya haid, wahai Rasulullah.”“Sabdanya: “Kalau begitu, pergilah, lalu berkainlah dan dekatlah kembali kepadaku.” Aku pun masuk, lalu berselimut bersama baginda.” (Hadis riwayat Sa'id bin Manshur). - Memberi wangi-wangian pada auratnya, Aisyah berkata: “Sesungguhnya Nabi apabila meminyakkan badannya, baginda memulakan dari auratnya dan menyapunya dengan nurah (sejenis bubuk pewangi) dan isterinya meminyakkan bahagian lain seluruh tubuhnya.” (Hadis riwayat Ibnu Majah).
- Mandi bersama isteri. Daripada Aisyah, beliau berkata: “Aku biasa mandi bersama dengan Nabi dengan satu bejana. Kami biasa bersama-sama memasukkan tangan kami (ke dalam bejana).” (Hadis riwayat 'Abdurrazaq dan Ibnu Abu Syaibah).
- Disisir isteri. Daripada Aisyah, beliau berkata: “Saya biasa menyisir rambut Rasulullah, saat itu saya sedang haid.” (Hadis riwayat Ahmad).Meminta isteri meminyakkan badannya Daripada Aisyah, beliau berkata: “Saya meminyakkan badan Rasulullah pada Aidiladha selepas baginda melakukan jumrah 'aqabah.” (Hadis riwayat Ibnu 'Asakir).
- Minum bergantian pada tempat yang sama Daripada Aisyah, beliau berkata : “Saya biasa minum daripada cawan yang sama ketika haid, lalu Nabi mengambil cawan itu dan meletakkan mulutnya di tempat saya meletakkan mulut saya. “Lalu baginda minum, kemudian saya mengambil cawan, lalu saya menghirup isinya. Kemudian baginda mengambilnya daripada saya, lalu beliau meletakkan mulutnya pada tempat saya meletakkan mulut saya, lalu beliau pun menghirupnya.” (Hadis riwayat Abdurrazaq dan Sa'id bin Manshur).
Membelai isteri. “Adalah Rasulullah tidaklah setiap hari melainkan baginda mesti mengelilingi kami semua (isterinya) seorang demi seorang. Baginda menghampiri dan membelai kami dengan tidak mencampuri hingga beliau singgah ke tempat isteri yang beliau giliri waktunya, lalu baginda bermalam di tempatnya.” (Hadis riwayat Ahmad).
Tidur di pangkuan isteri. Daripada Aisyah, beliau berkata: “Nabi biasa meletakkan kepalanya pada pangkuanku walaupun aku sedang haid, kemudian baginda membaca al-Quran.” (Hadis riwayat 'Abdurrazaq).
Memanggil dengan kata-kata mesra. Rasulullah biasa memanggil Aisyah dengan beberapa nama panggilan yang disukainya seperti 'Aisy dan Humaira (pipi merah delima).
Mendinginkan kemarahan isteri dengan mesra. Rasulullah biasa memicit hidung Aisyah jika beliau marah dan berkata: “Wahai 'Uwaisy, bacalah doa: 'Wahai Tuhanku, Tuhan Muhammad, ampunilah dosa-dosaku, hilangkanlah kekerasan hatiku, dan lindungilah diriku daripada fitnah yang menyesatkan.” (Hadis riwayat Ibnu Sunni)Memberikan hadiah.Daripada Ummu Kaltsum binti Abu Salamah, beliau berkata: “Ketika Nabi bernikah dengan Ummu Salamah, baginda bersabda kepadanya, 'Sesungguhnya aku pernah hendak memberi hadiah kepada Raja Najasyi sebuah pakaian berenda dan beberapa botol minyak kasturi, namun aku mengetahui ternyata Raja Najasyi meninggal dunia dan aku mengira hadiah itu akan dikembalikan. Jika hadiah itu memang dikembalikan kepadaku, aku akan memberikannya kepadamu.”Beliau (Ummu Kultsum) berkata: “Ternyata keadaan Raja Najasyi seperti yang disabdakan Rasulullah dan hadiah itu dikembalikan kepada baginda, lalu baginda memberikan kepada masing-masing isterinya satu botol minyak kasturi, sedang sisa minyak kasturi dan pakaian itu beliau berikan kepada Ummu Salamah.” (Hadis riwayat Ahmad)Begitu indahnya kemesraan Rasulullah kepada isterinya. Ia memberikan gambaran betapa Islam sangat mementingkan komunikasi bukan lisan kerana bahasa tubuh ini akan lebih berkesan menyatakan cinta dan kasih sayang di antara suami isteri.
Labels: Kasih sayang, keibubapaan, Kekeluargaan, Perkahwinan, suami-isteri
0 comments:
Post a Comment