Oleh Ir. Hjh. Endok Sempo Mohd Tahir
“MAMA, ulat bulu! Gelinya,” Widad menjerit kepada ibunya yang menyiram bunga pada suatu pagi Ramadan di belakang rumahnya
“Jangan pegang, nanti gatal tangan,” sahut ibunya mengingatkan anaknya, sambil berlari ke arahnya dengan perasaan bimbang.
“MAMA, ulat bulu! Gelinya,” Widad menjerit kepada ibunya yang menyiram bunga pada suatu pagi Ramadan di belakang rumahnya
“Jangan pegang, nanti gatal tangan,” sahut ibunya mengingatkan anaknya, sambil berlari ke arahnya dengan perasaan bimbang.
Kita dan sesiapa saja akan bertindak seperti Widad dan ibunya apabila berada dalam keadaan seperti itu. Namun, pernahkah kita memerhatikan kehidupan seekor ulat bulu?Kebanyakan kita melihat ulat bulu dengan perasaan geli-geleman, pandangan yang menjijikkan, bahkan menakutkan.
Namun, kita semua tahu bahawa masa jangka hayat seekor ulat bulu tidak lama. Apabila tiba saatnya, ia akan mengalami satu fasa yang harus masuk ke dalam kepompong selama beberapa hari. Setelah itu, ia akan keluar dalam satu bentuk kewujudan yang lain. Ia menjelma menjadi seekor kupu-kupu yang sangat cantik. Semua orang yang memandang akan terpikat dan suka menikmati keindahan warna warni sayapnya. Malah, ada yang ingin menangkapnya untuk dijadikan hiasan. Ada pula yang sengaja mencari dan memburunya semata-mata untuk bahan uji kaji atau keperluan ilmu pengetahuan atau hanya sebagai bahan koleksi. Semua proses metamorfosis kehidupan ulat bulu yang dibenci, digeruni dan dipandang jijik, akhirnya menjadi kegilaan dan rebutan itu memperlihatkan tanda kebesaran Allah. Menandakan betapa teramat mudahnya bagi Allah mengubah segala sesuatu daripada perkara menjijikkan, buruk dan tidak disukai, menjadi sesuatu yang indah dan membuat orang senang memandangnya. Semua itu berjalan melalui suatu proses perubahan yang sudah diatur dan aturannya ditentukan oleh Allah baik dalam bentuk aturan atau hukum alam (sunnatullah).
Begitu juga berdasarkan hukum yang disyariatkan kepada manusia yakin al-Quran dan hadis. Proses metamorfosis ulat ini boleh dianalogikan dengan kehidupan manusia. Saat manusia dapat menjelma menjadi insan yang jauh lebih indah, saat yang paling tepat untuk dilahirkan kembali adalah ketika memasuki Ramadan. Apabila kita masuk ke dalam ‘kepompong’ Ramadan, segala tindak tanduk dan amalan selari dengan ketentuan metamorfosis daripada Allah. Pada peringkat akhir metamorfosis, diharapkan kita akan mendapat hasil yang mampu membuat manusia lain tercengang. Insan baru yang berdarjat muttaqin, memiliki akhlak yang indah dan mempesonakan. Inti daripada ibadat pada kepompong Ramadan ternyata untuk melatih diri agar kita dapat menguasai hawa nafsu.
Allah berfirman bermaksud: “Dan ada pun orang yang takut kepada kebesaran Tuhannya dan menahan diri daripada keinginan hawa nafsunya, maka sesungguhnya syurgalah tempat tinggalnya.” – (Surah an-Naazi’aat, ayat 40 hingga 41).
Kita selalu bertanya dalam diri, mengapa agaknya selama ini berasa amat sukar mengendalikan hawa nafsu. Sebenarnya selama ini diri kita dilingkari, diajar dan diajak oleh ‘mentor’, ‘guru’ atau ‘pelatih’ yang mengajak dan membina hawa nafsu ke arah yang tidak disukai Allah. Mentor itu adalah syaitan laknatullah, yang sangat aktif mengarahkan hawa nafsu kita. Memang itulah tugas syaitan. Malang bagi kita, asal kejadian syaitan dan hawa nafsu adalah makhluk Allah yang tidak kelihatan pada mata kasar. Mereka adalah musuh yang wujud dalam dimensi alam ghaib.
Firman Allah bermaksud: “Sesungguhnya syaitan adalah musuh bagi kamu, maka jadikanlah dia musuh (yang mesti dijauhi tipu dayanya); sebenarnya dia hanya mengajak golongannya supaya menjadi daripada penduduk neraka.” – (Surah al-Faatir, ayat 6).
Namun, kita bersyukur kerana adanya fasa kehidupan dalam kepompong Ramadan selama sebulan ini. Kita diberi kesempatan sepenuhnya untuk melatih diri mengendalikan hawa nafsu sendiri tanpa gangguan mentor itu. Oleh itu gunakan kesempatan seperti ini dan janganlah sia-siakannya. Martabat ibadat puasa harus ditingkatkan. Tidak hanya berpuasa dengan menahan diri daripada nafsu perut dan seksual. Kita juga hendaklah aktifkan semua anggota badan yang lain untuk melaksanakan amalan yang dicintai Allah.
Amalan yang dicintai Allah adalah amalan soleh yang beransur-ansur akan mengalah atau meredamkan kemahuan hawa nafsu syaitan. Jika hawa nafsu syaitan dapat dikendalikan, nafsu yang tidak baik ini akan tunduk pada keinginan atau keazaman soleh. Dengan demikian, kita yang akan mampu memandu kehidupan ini, tidak lagi dalam kawalan ‘mentor’ yang lama (hawa nafsu syaitan).
Perkara lain yang paling utama perlu dijaga pada bulan yang sarat dengan barakah ini adalah akhlak. Barang siapa memperelokkan akhlaknya pada Ramadan, Allah akan menyelamatkannya ketika meniti ‘sirat’ iaitu banyak kaki durjana tergelincir, demikianlah maksud dari salah satu pesanan Rasulullah saw.
Pada Ramadan ini, kita dianggap sebagai tetamu Allah. Sebagai tuan rumah, Allah sangat mengetahui bagaimana cara melayani tetamunya dengan baik. Namun, Allah hanya akan melayani dengan baik jika kita tahu adab dan akhlak bertamu, apalagi menjadi tetamu Allah. Salah satunya ialah menjaga puasa dan menjadikannya sesempurna mungkin. Tidak hanya sekadar menahan lapar dan dahaga, malah seluruh anggota tubuh mesti turut berpuasa. Marilah kita perbaiki segala keburukan dan kekurangan akhlak kita sebagai tamu Allah kerana tidak mustahil Ramadan tahun ini adalah Ramadan terakhir bagi kita. Oleh itu, jangan sia-siakan kehadiran bulan yang penuh kemuliaan, kerahmatan dan keberkatan ini. Semoga Allah Yang Maha Menyaksikan menjadi saksi dan sentiasa melimpahkan inayah-Nya kepada kita sepanjang fasa ‘kepompong’ Ramadan ini. Metamorfosis kita akan berakhir dengan kelahiran insan baru, umpama seekor ulat bulu yang keluar menjadi seekor kupu-kupu yang teramat indah dan mempesona. Marhaban Ya Ramadan, marilah kita berlumba-lumba membuat kebajikan. Gandakan amalan soleh untuk lebih mendekatkan diri kepada Allah.
Renung dan hayati firman Allah bermaksud: “Hai orang yang beriman, diwajibkan kepada kamu untuk berpuasa seperti telah diwajibkan atas umat terdahulu daripada kamu, mudah-mudahan kamu bertakwa.” – (Surah al-Baqarah, ayat 183).
Dalam satu hadis qudsi Rasulullah bersabda bahawa Allah berfirman bermaksud:
“Semua amal anak Adam dapat dicampuri kepentingan hawa nafsu, kecuali shaum (puasa). Maka, sesungguhnya shaum itu semata-mata untuk-Ku dan Aku sendiri yang akan membalasnya.” – (Hadis riwayat Bukhari dan Muslim).
· PENULIS boleh dihubungi melalui e-mel wanitajim0@yahoo.com dan maklum balas mengenai sebarang pertanyaan boleh dilayari pada www.wanitajimceria.blogspot.com.
· PENULIS boleh dihubungi melalui e-mel wanitajim0@yahoo.com dan maklum balas mengenai sebarang pertanyaan boleh dilayari pada www.wanitajimceria.blogspot.com.
Subscribe to:
Post Comments (Atom)
Assalamualaikum,
Tahniah Kak endok. Analogi yg sangat cantik. Lebih menarik lagi ianya dinukil oleh seorang engineer. Kaedah penulisan yang diilhamkan dari fenomena kejadian alam untuk sebarkan fikrah perlu diterokai oleh kita semua.
HMN
hafidzi mohd noor[hafidzi2001@y...]
Date: Wed Oct 20, 2004 11:34 am
(a student of Biology)
Anonymous said...
January 9, 2005 at 11:05 PM